KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.
Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata beliau mengambil keputusan itu sebagai tanda solidariti kepada bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan hanya mahu berkhidmat kepada kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat.
“Surat peletakan jawatan akan saya tandatangan dan berikan kepada Setiausaha Dewan Rakyat sebentar lagi,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini semalam.
Terdahulu, usul kerajaan untuk mengosongkan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan dengan 111 bersetuju dan 109 membantah.
Dalam pada itu Nga ditanya mengenai tindakannya meletakkan jawatan mendahului usul pengosongan jawatannya itu mencalar kredibilitinya, Nga sebaliknya menyifatkan ia satu penghormatan memandangkan selama ini beliau bekerjasama rapat dengan Mohamad Ariff.
“Minggu ini genap dua tahun saya dan Mohamad Ariff berkhidmat sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua. Jadi disebabkan itu saya sudi meletakkan jawatan sebagai solidariti kepada Yang Dipertua (Mohamad Ariff),” katanya.
Nga dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk media yang memberi kerjasama kepadanya selama ini.
Sementara itu, Datuk Azhar Azizan Harun yang mula menjalankan tugasnya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat mengumumkan peletakan jawatan Nga di dalam dewan. — Bernama