MARUDI: Seramai 18 ketua masyarakat dan ketua kaum di sini melakukan lawatan sambil belajar ke tapak projek pertanian di Bahagian Miri baru-baru ini.
Lawatan tersebut diketuai Penolong Pegawai Pertanian, selaku Pegawai Menguasa Jabatan Pertanian Daerah Marudi, Sima Lait.
Sima berkata, mereka dibawa melawat ke tiga pusat pertanian iaitu ke Pusat Penyelidikan Pertanian Wilayah Utara Kebuloh, Ladang Saramanis Bakam Sarawak dan melawat ke projek hidroponik ( kebun sayur) milik seorang Orang Kurang Upaya (OKU), Ng Sze Liang di Tudan.
Dalam pada itu, Ketua Masyarakat, Pemanca Randie Bundan yang turut serta dalam lawatan tersebut amat teruja atas kegigihan seorang OKU dalam mengusahakan kebun sayurnya di kawasan rumah secara hydroponik.
“Sungguh menarik meskipun tanpa kaki, ini tidak menghalang Ng Sze berusaha untuk berjaya dalam bidang pertanian,” katanya.
Menurut Randie Ng Sze, mempunyai semangat yang kental untuk berjaya dalam hidup dan untuk menyara hidup keluarganya.
“Usahanya boleh menjadi contoh kepada kita, dan jika OKU boleh melakukan dalam bidang pertanian, kita sebagai insan yang sempurna tidak mustahil boleh melakukan perkara yang sama,” katanya.
Oleh Jiku Juguong