RIYADH: Bintang bola sepak Brazil, Neymar, sedang berbincang untuk meninggalkan kelab Arab Saudi, Al Hilal, namun tuntutan kewangan yang tinggi menjadi penghalang utama, kata sumber kelab kepada AFP.
Pemain berusia 32 tahun itu, yang pernah beraksi bersama Barcelona dan Paris Saint Germain (PSG), mengalami tempoh suram bersama Al Hilal akibat kecederaan, dengan hanya tujuh penampilan meskipun menerima gaji sekitar AS$104 juta (RM480 juta) setahun.
Sumber yang tidak mahu dikenali berkata, “Neymar sedang berbincang mengenai pemergiannya dengan Al Hilal, tetapi tuntutan kewangan yang tinggi menjadi halangan utama.”
Neymar masih mempunyai kontrak bersama kelab Liga Pro Saudi itu sehingga Jun.
Namun, laporan di Brazil menyatakan Santos, kelab yang melahirkan bintang itu, sedang berunding untuk membawanya pulang.
Bagaimanapun, Al Hilal lebih berminat untuk menjual Neymar, sementara pemain itu dikatakan mahukan perjanjian pinjaman.
Neymar mencipta sejarah perpindahan termahal dunia pada 2017 apabila PSG membelinya dari Barcelona dengan harga €220 juta (RM1 bilion).
Dia menyertai Al-Hilal pada Ogos 2023, menyusuli jejak pemain ternama lain seperti Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema ke liga yang menawarkan ganjaran lumayan.
Namun, hanya dua bulan selepas tiba di Riyadh, Neymar mengalami kecederaan ligamen krusiat di lutut kiri ketika mewakili Brazil dalam kelayakan Piala Dunia 2026, yang memaksanya berehat selama setahun.
Sejak kembali, Neymar terus bergelut dengan kecederaan hamstring dan lutut, menyebabkan penampilannya bersama Al Hilal terbatas.
Jurulatih Al Hilal, Jorge Jesus, baru-baru ini berkata, “Dia tidak lagi dapat bermain pada tahap seperti dahulu. Keadaan menjadi sukar untuknya.”
Jika kembali ke Brazil, ini mungkin menjadi peluang terakhir buat Neymar, yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol dalam 127 perlawanan, untuk menghidupkan semula kariernya yang semakin malap. – AFP