
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot tidak yakin bahawa menamatkan saingan di tangga teratas Liga Juara-Juara dalam peringkat liga akan menjadi satu kelebihan selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terakhir awal pagi tadi.
The Reds menewaskan Lille 2-1 di Anfield untuk mengekalkan rekod sempurna tujuh kemenangan daripada tujuh perlawanan dalam format baharu pertandingan itu.
Liverpool pasti akan menamatkan kedudukan di tempat teratas dengan Barcelona satu-satunya pasukan yang akan boleh mencabar mereka di tempat pertama.
Ini bermakna pasukan yang mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan berhadapan dengan pasukan yang berada di antara tempat ke-15 dan ke-18 dalam pusingan 16 terakhir.
Namun, Slot tidak percaya kedudukan liga menggambarkan cerita sebenar memandangkan setiap kelab berhadapan dengan lapan lawan yang berbeza dalam peringkat liga.
“Kami gembira kerana kami berada dalam lapan terbaik. Itu satu-satunya perkara yang memberitahu saya sesuatu, kerana carta liga ini tidak memberitahu anda apa-apa.
“Jadi biasanya dalam tenis, jika anda nombor satu, anda tahu jika anda bermain menentang nombor 24, dia mungkin tidak sehebat nombor 16.
“Tetapi di sini, kerana kami bermain dengan pasukan yang berbeza, mungkin nombor 24 lebih baik daripada nombor 16, tetapi nombor 16 mendapat undian yang lebih mudah.
“Kami juga mahu berada di puncak liga, tetapi saya tidak begitu pasti. Kita perlu tunggu dan lihat sama ada itu memberi kelebihan, mari kita katakan begitu,” kata pengurus dari Belanda itu.
Mohamed Salah memberikan Liverpool kelebihan di halaman sendiri menentang pasukan Lille yang juga menunjukkan prestasi baik musim ini, dan pelawat kelihatan berada dalam kesulitan apabila Aissa Mandi dilayangkan kad merah tepat sebelum perlawanan memasuki minit ke-60.
Jonathan David menjaringkan gol penyamaan untuk Lille, tetapi rembatan Harvey Elliott memberikan Liverpool tiga mata.
Kemenangan itu, memberikan Lille kekalahan pertama dalam 22 perlawanan di semua pertandingan termasuk kemenangan ke atas Real Madrid dan Atletico Madrid. – AFP