
EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Bintang sensasi Brazil, Neymar memberi bayangan bahawa karier antarabangsanya telah berakhir selepas juara lima kali Piala Dunia itu tersingkir pada pusingan 16 terbaik di tangan Norway, awal pagi ini.
Neymar yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada lewat permainan di Stadium MetLife, menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.
Namun, jaringan itu sekadar menjadi gol sagu hati selepas Erling Haaland meledak dua gol untuk membantu Norway mencatat kemenangan 2-1 ke atas Brazil.
Pemain berusia 34 tahun itu merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil. Ironinya, beliau turut menjaringkan gol pertamanya bersama skuad kebangsaan di stadium yang sama ketika Brazil menewaskan Amerika Syarikat 2-0 pada 2010.
“Saya sudah mencuba dan terus mencuba. Kini semuanya sudah berakhir. Ia bermula di sini dan berakhir di sini,” kata Neymar dalam perbualan ringkas bersama wartawan Globo Esporte dari Brazil sejurus tamat perlawanan.
Neymar dilihat rebah sambil menangis sebaik wisel penamat dibunyikan dan ditenangkan oleh rakan sepasukan.
Sering dibelenggu kecederaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bekas pemain Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) yang kini kembali menyarung jersi kelab pertamanya, Santos, menjadi antara kejutan apabila disenaraikan dalam skuad Brazil kendalian Carlo Ancelotti ke Piala Dunia.
Kecederaan menghalangnya daripada beraksi dalam dua perlawanan pertama peringkat kumpulan, namun beliau tampil sebagai pemain gantian ketika Brazil menewaskan Scotland 3-0 di Miami bagi melengkapkan aksi pembukaan kumpulan.
Perlawanan itu merupakan penampilan antarabangsa pertamanya sejak Oktober 2023, manakala aksi menentang Norway pagi ini menjadi penampilan keduanya di Amerika Syarikat sepanjang kejohanan kali ini.- AFP