![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/01/IMG_9167-1024x653.jpeg)
Pada awal bulan ini, Neymar berkata dia mahu beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia 2026 di AS, Kanada dan Mexico.
RIYADH: Bintang Brazil, Neymar menamatkan 18 bulan dipenuhi kecederaan di Arab Saudi ketika kelabnya Al-Hilal menyatakan mereka “bersetuju untuk menamatkan kontrak pemain itu secara persetujuan bersama.”
“Kelab ini melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Neymar kerana apa yang disumbangkannya sepanjang kariernya bersama Al-Hilal dan mendoakan kejayaan dalam kariernya selepas ini,” menurut kenyataan kelab yang disiar dalam media sosial.
Penyerang berusia 32 tahun bekas pemain Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu beraksi hanya tujuh perlawanan sejak menyertai kelab itu pada Ogos 2023, sekalipun dilapor menerima gaji kira-kira AS$104 juta (RM456 juta) setahun.
Neymar masih dianggap terbabit dalam perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak apabila dia menyertai PSG dari Barcelona pada 2017 dengan harga 220 juta euro (RM1 bilion).
Dia menyusuli pemain bintang Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema memperagakan aksi dalam Liga Pro Saudi.
Namun dua bulan selepas tiba di Riyadh, dia mengalami kecederaan di lutut kirinya ketika beraksi buat Brazil pada aksi kelayakan Piala Dunia pada Oktober 2023, yang menyebabkannya terpaksa berehat selama setahun.
Dia kembali ke Al-Hilal bagi dua aksi pada Oktober dan November tetapi cedera hamstring sekali gus tidak beraksi sejak itu. Dia berkata dia menyasarkan Piala Dunia.
Jurulatih kelab itu Jorge Jesus berkata baru-baru ini: “Dia tidak boleh lagi beraksi pada tahap biasa kami. Dia mengalami kesukaran, malangnya.”
Pada awal bulan ini, Neymar berkata dia mahu beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia 2026 di AS, Kanada dan Mexico. – AFP