

SIMUNJAN: Operasi dan menyelamat (SAR) bagi menjejaki seorang lelaki yang dikhuatiri hilang di Sungai Sageng sejak 13 Mac lepas diteruskan masuk hari kelima hari ini.
Mangsa, Hamil Hamdan, 43 tahun, dilaporkan keluar menangkap ikan di sungai berkenaan pada pagi Khamis lalu namun gagal pulang ke rumah.
Penduduk kampung kemudian menemui bot serta peralatan menangkap ikannya di Sungai Segali, mencetuskan kebimbangan bahawa beliau mungkin hilang di perairan tersebut.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan mengenai kejadian ini diterima pada 14 Mac 12:39 tengah hari, dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan segera dikerahkan ke lokasi yang terletak sekitar satu kilometer (km) dari balai.
Komander Operasi, PBK I Adam Sulaiman memberitahu, usaha pencarian hari ini dimulakan seawal 8.00 pagi dengan taklimat bersama agensi berkaitan, diketuai oleh Ketua Polis Daerah (KPD) Simunjan.
Pada 10.00 pagi, pasukan SAR membahagikan kawasan pencarian kepada empat sektor dengan dua pasukan menyusuri kawasan hulu dan dua pasukan lagi ke hilir sungai. Usaha pencarian diperluaskan sehingga ke Kampung Tenggelam dengan radius sekitar 30 km.
Operasi disambung pada 3.10 petang dengan pencarian tertumpu di hilir Sungai Batang Sadong sejauh 25 km. Keadaan air yang bergelora serta kehadiran sisa kayu hanyut akibat arus deras menyukarkan usaha pasukan penyelamat sehingga ke Pengkalan Sungai Apin.
Bagaimanapun, sehigga operasi ditangguhkan pada 5.15 petang, mangsa masih belum ditemui.
Usaha pencarian akan diteruskan pada hari berikutnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha pencarian.