LONDON: Negara kaya perlu meningkatkan lebih daripada dua kali jumlah pembiayaan iklim yang dibayar menggunakan wang pembayar cukai setiap tahun menjelang 2030, kata pakar yang dilantik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kumpulan Pakar Peringkat Tinggi Bebas mengenai Kewangan Iklim (IHLEGCF) membuat penilaian jumlah wang yang diperlukan untuk mencapai matlamat Perjanjian Paris 2015, bertujuan untuk mengehadkan pemanasan global yang berbahaya, lapor PA Media/dpa.
Laporan baharu dijadual dilancarkan pada Khamis pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP29) di Azerbaijan, ketika pemimpin dunia dan delegasi berusaha untuk merangka perjanjian pembiayaan baharu.
Negara kaya sebelum ini berjanji untuk menyediakan AS$100 bilion setahun dalam pembiayaan awam dan swasta bagi membantu negara membangun menjadikan ekonomi mereka lebih lestari dan menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim yang tidak dapat dielakkan, sebagai sebahagian usaha memastikan kelangsungan perjanjian Paris.
Namun, negara bersetuju yang perjanjian baharu mengenai pembiayaan iklim perlu ditetapkan sebelum 2025.
Ketika negara merumuskan butiran itu di COP29, IHLEGCF berkata sejumlah AS$1 trilion perlu disalurkan ke negara membangun setiap tahun menjelang 2030, kecuali China, untuk mencapai matlamat Perjanjian Paris.
Dalam hal ini, kumpulan itu menggariskan jumlah wang awam yang perlu disalurkan oleh kerajaan kaya kepada negara membangun.
Pada masa ini, sekitar AS$43 bilion setahun dalam “pembiayaan awam dua hala” disalurkan dari negara maju ke negara membangun, menurut analisis itu.
Namun, jumlah ini perlu meningkat kepada antara AS$80 bilion hingga AS$100 bilion setahun menjelang 2030 bagi dunia untuk mencapai matlamat Perjanjian Paris, menurut para pakar.
Namun, itu bukan semuanya, kerana pembiayaan dua hala bukan satu-satunya wang awam yang dibayar oleh kerajaan kaya untuk pembiayaan iklim.
Mereka juga menyumbang wang kepada bank pembangunan multilateral seperti Bank Dunia yang kemudiannya menyalurkan pembiayaan iklim kepada negara membangun.
Sebagai contoh, kerajaan UK berjanji untuk membelanjakan £11.6 bilion (AS$14.7 bilion) dalam masa lima tahun hingga 2026, kebanyakannya melalui pembiayaan iklim dua hala, tetapi termasuk wang yang dibayar kepada bank-bank multilateral.
Untuk memenuhi bahagian mereka daripada $1 trilion, IHLEGCF berkata bank multilateral perlu menggandakan tiga kali ganda aliran kewangan ke negara membangun menjelang 2030 kepada kira-kira AS$250 bilion hingga AS$300 bilion.
Selain itu, laporan turut menyatakan: “Peningkatan besar dan pantas dalam pembiayaan untuk menyokong dorongan pelaburan yang besar hanya boleh dicapai dengan memanfaatkan semua sumber pembiayaan.”
Laporan itu menyatakan kira-kira separuh daripada AS$1 trilion, antara AS$450 bilion hingga AS$550 bilion sepatutnya mengalir ke negara membangun melalui pelaburan swasta.
Profesor Nick Stern dari Institut Penyelidikan Grantham mengenai Perubahan Iklim dan pengerusi bersama kumpulan berperingkat tinggi itu berkata, ini adalah “apa yang diperlukan untuk memenuhi komitmen Perjanjian Paris.”
Laporan itu memberi amaran, sebarang kekurangan pelaburan sebelum 2030 akan meletakkan tekanan tambahan pada tahun mendatang dan seterusnya mencipta “laluan lebih mencabar dan berpotensi lebih mahal menuju kestabilan iklim.”
Laporan itu menyatakan: “Semakin sedikit yang dicapai dunia sekarang, semakin banyak yang perlu kita laburkan pada masa hadapan.”
“Tindakan yang tertangguh bermakna kita perlu menggerakkan jumlah yang lebih besar dalam tempoh masa yang lebih singkat untuk mengejar sasaran penting.”
“Selain itu, keperluan pelaburan untuk penyesuaian dan ketahanan, serta kerugian dan kerosakan dan pemulihan alam semula jadi akan meningkat dengan mendadak seiring peningkatan risiko iklim dan alam semula jadi.”
Kumpulan berperingkat tinggi, yang turut dipengerusikan bersama oleh Amar Bhattacharya dan Vera Songwe menyokong perbincangan mengenai agenda pembiayaan iklim di bawah pengerusi penggiliran COP yang berturut-turut sejak COP26.
Kumpulan itu diberi tugas membantu membangunkan dan mengemukakan pilihan dasar serta cadangan bagi menggalakkan dan membolehkan pelaburan dan pembiayaan awam serta swasta yang diperlukan untuk melaksanakan komitmen, cita-cita, inisiatif dan sasaran Perjanjian Paris.
Laporan itu akan dilancarkan secara rasmi di COP29 dalam acara khas bersama Simon Stiell, Setiausaha Eksekutif Perubahan Iklim PBB, pada Khamis. – BERNAMA-PA MEDIA/dpa