
KUALA LUMPUR: Nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia bertarikh 5 Mac lepas melibatkan 10 negara Asia Barat yang terkesan oleh aktiviti ketenteraan, kekal berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.
10 negara berkenaan ialah Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Lubnan, Oman, dan Arab Saudi.
Kementerian Luar, yang turut dikenali sebagai Wisma Putra, dalam kenyataannya pada 5 Mac menyatakan kebimbangan serius terhadap peningkatan konflik yang berlaku di rantau terbabit.
“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia tetap menjadi keutamaan tertinggi kami. Mengambil kira kebimbangan keselamatan buat masa ini, Kementerian menasihatkan warga Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh konflik semasa.
“Ini juga terpakai kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menunaikan umrah atau ziarah,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut memohon pertimbangan dan kerjasama daripada semua pihak, termasuk agensi pelancongan.
Kementerian kini sedang bekerjasama rapat dengan Perwakilan Diplomatik, kerajaan di rantau berkenaan, serta syarikat penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas susulan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara.
“Usaha pemindahan kami juga merangkumi rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air dengan merujuk kepada pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar,” katanya.
Rakyat Malaysia digesa untuk segera mendaftar dan mengemas kini butiran perhubungan dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia yang berhampiran atau melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my, memandangkan sebarang pengaturan untuk membawa mereka pulang akan diselaraskan berdasarkan pangkalan data berkenaan.
Perwakilan Diplomatik Malaysia yang berkaitan telah berhubung dengan rakyat Malaysia di negara terjejas sejak peringkat awal konflik bagi menyalurkan bantuan konsular dan mengumpul maklumat untuk perancangan luar jangka.
“Kami menggesa rakyat Malaysia di negara yang terlibat supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan aktiviti ketenteraan serta perhimpunan awam, dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Kementerian akan memastikan usaha membawa mereka pulang ini berjaya dilaksanakan demi kepentingan rakyat Malaysia dengan sokongan semua pihak berkaitan.
Sekiranya berlaku kecemasan atau memerlukan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi pejabat diplomatik Malaysia yang berhampiran:
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI TEHRAN, IRAN
Tel: +98 21 8807 2444 / +98 21 8807 8606 / +98 933 535 2602 (Kecemasan)
E-mel: mwtehran@kln.gov.my
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI MANAMA, BAHRAIN
Tel: +973 1756 4551 / +973 3899 0749 (Kecemasan)
E-mel: mwmanama@kln.gov.my
KEDUTAAAN BESAR MALAYSIA DI BAGHDAD, IRAQ
Tel: +964 787 859 8775 (Kecemasan)
E-mel: mwbaghdad@kln.gov.my
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI AMMAN, JORDAN
Tel: +962 6590 2400 / +962 78590 2400 (Kecemasan)
E-mel: mwamman@kln.gov.my
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI KUWAIT CITY, KUWAIT
Tel: +965 2255 0394 / +965 2255 0395 / +965 9678 3036 (Kecemasan)
E-mel: mwkuwait@kln.gov.my
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI BEIRUT, LUBNAN
Tel: +961-3052 258 / +961 7677 2527
E-mel: mwbeirut@kln.gov.my
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI MUSCAT, OMAN
Tel: +968 2469 8329/ +968 2469 8643/ +968 7159 2388 (Kecemasan)
E-mel: mwmuscat@kln.gov.my
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI DOHA, QATAR
Tel: +974 4483 6463 / +974 4483 6493 (Kecemasan)
E-mel: mwdoha@kln.gov.my
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI RIYADH, ARAB SAUDI
Tel: 00 966 11 488 7098 / 00 966 11 482 4177 / 00 966 11 488 7100 (Kecemasan)
E-mel: mwriyadh@kln.gov.my
KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI JEDDAH, ARAB SAUDI
Tel: +966 126 727 740 / +966 573 099 589 (Operasi 24 jam)
E-mel: mwjeddah@kln.gov.my
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI ABU DHABI, UAE
Tel: +971 2 4482 775 / +971 2 4482 776 / +971 50 614 6894 (Kecemasan)
E-mel: mwabudhabi@kln.gov.my
KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI DUBAI, UAE
Tel: +971 4 3985 847 / +971 50 737 9196 (Kecemasan)
E-mel: dxb.cons@kln.gov.my
Selain itu, orang ramai boleh menghubungi terus kementerian di:
BILIK OPERASI KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Tel: +603-8887 4570
E-mel: dutyofficer@kln.gov.my
BAHAGIAN KONSULAR, KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Tel: +603-8887 4597 / +603-8887 4769 / +603-8887 4264
E-mel: bkrm@kln.gov.my
Bilik Operasi kementerian di Putrajaya kekal diaktifkan sepenuhnya secara 24 jam. – Bernama