MH370: Ocean Infinity tamatkan pencarian di Lautan Hindi tanpa penemuan baharu

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Syarikat penerokaan laut dalam, Ocean Infinity menamatkan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 di Lautan Hindi tanpa menemui sebarang maklumat atau data baharu yang berkaitan dengan pesawat yang hilang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett berkata kapal syarikat itu secara rasminya meninggalkan zon pencarian pada 23 Januari, dalam usaha terbarunya untuk mencari MH370.

Sejak memulakan misi itu pada 2018, syarikat berkenaan telah menghabiskan 151 hari di laut dan memetakan lebih daripada 140,000 kilometer persegi dasar laut.

“Penting bagi kami untuk memanfaatkan setiap maklumat dan data yang ada dan kembali, tetapi meskipun dengan segala usaha itu, kami tidak dapat menemuinya,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web syarikat itu semalam.

Plunkett berkata skala operasi mencari, baik dari segi geografi mahupun teknologi, hampir mustahil untuk difahami, tetapi beliau melahirkan rasa bangga dengan usaha pasukan dan teknologi canggih yang digunakan sepanjang misi tersebut. 

“Gabungan ketelitian saintifik, teknik automasi, robotik dan pengalaman organisasi yang lebih meluas bermakna pencarian ini dijalankan dengan tahap ketepatan dan kelajuan yang tidak  pernah terfikirkan pada 2018.

“Saya harap mereka di seluruh dunia yang menganggap perkara ini penting tahu bahawa, walaupun kita tidak mendapat hasil yang kita inginkan, sebilangan besar orang telah melakukan yang terbaik yang mereka mampu,” katanya.

Walaupun tidak mencapai hasil yang diharapkan, Plunkett berkata menandakan kawasan yang telah dibuat carian memberikan kejelasan penting untuk usaha masa depan.

“Jika tiada menemukan apa-apa lagi, kita boleh mengatakan dengan yakin bahawa ia bukanlah tempat yang kita cari. Itu penting – untuk lebih jelas, dan ia akan membantu mereka yang terus mengkaji bukti, memperhalusi pemikiran mereka dan membentuk strategi carian pada masa depan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan daripada keluarga, kerajaan Malaysia dan Australia, serta pelbagai individu dan syarikat yang terlibat dalam usaha tersebut. 

Plunkett berkata Ocean Infinity terus komited terhadap misi jangka panjang untuk mencari pesawat yang hilang itu.

“Walaupun fasa pencarian ini telah selesai, komitmen kami belum selesai. Kami terus bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia dengan harapan dapat kembali apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac 2014, semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, bersama 239 penumpang dan anak kapal.

-Bernama

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman