
ISTANBUL: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) pada Isnin mengumumkan akan bekerjasama dengan agensi persekutuan berkaitan bagi menyiasat kes kematian dan kehilangan 11 ahli sains nuklear serta angkasa lepas, lapor Anadolu Ajansi.
“NASA sedang menyelaras dan bekerjasama dengan agensi berkaitan berhubung kehilangan ahli sains berkenaan.
“Setakat ini, tiada sebarang petunjuk berkaitan NASA yang menunjukkan wujudnya ancaman terhadap keselamatan negara,” kata Jurucakap NASA, Bethany Stevens dalam satu kenyataan menerusi platform media sosial X.
Beliau berkata agensi itu komited terhadap ketelusan dan akan menyalurkan lebih banyak maklumat dari semasa ke semasa.
Pada 17 April lepas, Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt berkata Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) akan menyemak semula kes-kes ahli sains Amerika Syarikat (AS) yang hilang atau maut bagi menentukan sama ada terdapat sebarang kaitan antara insiden berkenaan.
“Rumah Putih sedang bekerjasama aktif dengan semua agensi berkaitan dan FBI untuk menyemak kesemua kes ini secara holistik serta mengenal pasti sebarang persamaan yang mungkin wujud. Usaha ini akan dilakukan secara menyeluruh tanpa mengetepikan sebarang kemungkinan,” kata Leavitt melalui hantaran di X.
Sejak 2023, sekurang-kurangnya 11 ahli sains yang kebanyakannya terlibat dalam penyelidikan sains angkasa dan nuklear telah maut atau hilang, dengan beberapa kejadian berlaku dalam keadaan yang tidak jelas atau mencurigakan. – Bernama