
KUCHING: Semangat kesukarelawanan warga kota Kuching terserlah apabila Dewan Masyarakat MBKS menjadi medan pertemuan bermakna dalam penganjuran Program Jualan Makanan Amal Wishesland Kuching 2026, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri yang hadir merasmikan program tersebut mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Palsi Serebrum Bahagian Kuching dan Samarahan bagi memperkukuh pelaksanaan program serta aktiviti kebajikan untuk anak-anak Palsi Serebrum.
Beliau mengumumkan sumbangan tersebut ketika merasmikan Program Jualan Makanan Amal Wishesland Kuching 2026 di Dewan Masyarakat MBKS, di sini, hari ini.

Nancy berkata, anak-anak Palsi Serebrum mempunyai bakat dan potensi tersendiri yang perlu terus diperkasakan menerusi peluang, sokongan serta akses kepada pendidikan, pemulihan dan penyertaan dalam masyarakat.
“Mereka tidak meminta untuk dilahirkan dalam keadaan sedemikian. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita sebagai masyarakat untuk memberikan sokongan supaya mereka dapat mengembangkan potensi yang dimiliki,” katanya.
Beliau berkata, sehingga 31 Mei lalu, Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) merekodkan seramai 843,759 individu berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) di Malaysia, termasuk 32,270 individu Palsi Serebrum.

Menurutnya, statistik itu menggambarkan keperluan untuk terus memperkukuh sistem sokongan kepada golongan berkenaan melalui kerjasama kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti.
Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited memastikan setiap OKU menerima hak, peluang dan akses yang saksama kepada perkhidmatan kebajikan, pendidikan serta pemulihan.
“Kita mahu membina sebuah negara yang bukan sahaja menerima perbezaan, malah menghargai kepelbagaian supaya tiada sesiapa tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga yang sentiasa tabah membesarkan anak-anak Palsi Serebrum serta menyifatkan pengorbanan mereka wajar dipikul bersama oleh seluruh masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Program Jualan Makanan Amal Wishesland Kuching 2026, Fiona Kong berkata, program berkenaan bertujuan mengumpul dana bagi menyokong pelbagai program kebajikan Wishesland yang memberi manfaat kepada kanak-kanak dan keluarga memerlukan.
Beliau berkata, setiap pembelian makanan, sumbangan serta penyertaan orang ramai akan membantu meneruskan misi kebajikan organisasi itu, selain merakamkan penghargaan kepada penaja, sukarelawan, pengusaha gerai dan rakan media yang menjayakan program berkenaan.
Oleh Shikin Mahmud