
SARATOK: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menaik taraf rumah pengkebumian di kawasan perkuburan Cina Jalan Feeder di sini bakal memberikan kemudahan dan keselesaan lebih baik kepada komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, keadaan rumah pengkebumian yang kini sudah uzur dan rosak akan berubah wajah menerusi pelaksanaan projek RTP tersebut apabila siap sepenuhnya nanti.
Menurut beliau, projek berkenaan memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan awam termasuk fasiliti komuniti sentiasa berada dalam keadaan baik dan selesa untuk digunakan.
Sesi serah tapak projek tersebut telah diwakili oleh Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad kepada kontraktor yang berjaya dipilih menerusi proses cabut undi.

Majlis Daerah Saratok bertindak sebagai agensi pelaksana projek berkenaan yang dijangka dimulakan dalam masa terdekat.
Kontraktor yang dilantik pula dipilih menerusi proses cabut undi yang dikendalikan oleh Pejabat Residen Bahagian Betong bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan secara telus dan teratur.
Sementara itu, Pemanca Lim Guan Ann merakamkan penghargaan kepada Pusat Khidmat ADUN Kalaka atas keprihatinan memenuhi keperluan komuniti Cina di Saratok.
Beliau berkata, projek naik taraf tersebut amat diperlukan kerana ia akan memberi kemudahan lebih baik kepada pengguna serta meningkatkan keselesaan fasiliti di tanah perkuburan Cina Jalan Feeder.
Katanya lagi, usaha berkenaan turut membuktikan kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat dalam memastikan kebajikan komuniti pelbagai kaum terus diberi perhatian.
Turut hadir semasa sesi serah tapak itu ialah Suriati David Thomas, Pemanca Lim Guan Ann serta ahli jawatankuasa Persatuan Tanah Perkuburan Cina Jalan Feeder Saratok.
Oleh Adi Safarman