PENGURUSAN Sarawak United FC menafikan berlakunya masalah tunggakan gaji dalam kalangan pemain dan jurulatih kelab sejak Julai lalu.
Malah menurut Pengerusi Sarawak United FC, Datuk Posa Majais, bayaran gaji semua pemain, jurulatih dan pegawai telah dibayar sepenuhnya.
Jelas Posa, pembayaran bagi Ogos sedang dilakukan ketika ini dan kemas kini akuan Sarawak United FC sedikit ‘kurang teratur’ serta memerlukan penelitian memandangkan terdapat pemain yang telah memohon pendahuluan gaji Ogos terlebih awal bulan lalu.
“Tambahan penelitian dan kemas kini yang tepat memerlukan perhatian bagi memudahkan semua pihak yang terlibat di bahagian kewangan.
“Sebagai sebuah pengurusan yang sentiasa peka dan bertanggungjawab, pihak kami sentiasa memastikan kebajikan kesemua ahli keluarga Sarawak United baik dari segala segi dan sangat menekankan perkara ini sebagai keutamaan.
Tegas Posa lagi, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang telah membuat fitnah berkenaan perkara tersebut sehingga menjejaskan imej kelab.
“Untuk individu terbabit, pihak pengurusan akan mengambil tindakan undang-undang kerana lemparan fitnah ini sedikit sebanyak telah mencalarkan imej kelab.
“Surat saman akan diserahkan kepada individu tersebut pada 27 September ini oleh peguam Sarawak United sebagai pengajaran kepada individu ini, yang sebelum ini pernah tular kerana gemar masuk campur pengurusan kelab lain yang tidak hanya Sarawak United sahaja.
“Langkah ini diambil Sarawak United sebagai peringatan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat spekulasi yang boleh menjatuhkan Sarawak United pada ketika ini.
Beliau turut berharap penyokong-penyokong setia Sarawak United untuk terus memberikan sokongan padu kepada kelab berkenaan secara berterusan.
“Untuk penyokong setia Sarawak United, walaupun kami bukan kelab yang sempurna, diharapkan sokongan daripada anda akan berterusan bukan sahaja untuk perjuangan pemain.
“Tetapi juga sumber kekuatan kesemua individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membina semula empayar bola sepak Sarawak ke peringkat yang boleh dibanggakan pada masa depan,” ujarnya.