MARUDI: Sebanyak 33 kit makanan diserahkan kepada mangsa ribut yang terjejas dalam kejadian pada 30 Ogos lepas yang melibatkan Kampung Pemindahan Melayu, Kampung Pemindahan Cina, Kampung Dagang dan Rumah Panjang (Rh) Ubie Kuala Ridan.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, kebanyakan bumbung rumah mangsa tercabut, selain berlaku kerosakan pada struktur rumah akibat ribut kencang.
Kejadian itu menjejaskan seramai 142 mangsa daripada 27 buah rumah dan empat unit kediaman di rumah panjang. Keseluruhan mangsa itu melibatkan 77 mangsa dari 16 buah rumah di Kampung Pemindahan Melayu, 20 mangsa dari lapan buah rumah di Kampung Pemindahan Cina, 13 mangsa dari tiga buah rumah di Kampung Dagang dan 32 mangsa dari empat unit kediaman di Rh Ubie Kuala Ridan.
Kit makanan berkenaan disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Malaysia dan penyerahannya disempurnakan oleh Lt. M (PA) Abdul Halim Mon di Dewan Masyarakat Kampung Pemindahan, semalam.




