MUT Sarawak perkukuh aduan utility menerusi WhatsApp – Julaihi

Facebook
WhatsApp
MENTERI Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Seri Julaihi Narawi (tengah) pada sambutan Hari Integriti dan Inovasi kementerian itu, hari ini. Foto BERNAMA

KUCHING, 10 November: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) memperkukuh mekanisme penyelesaian aduan berkaitan bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan Internet serta gas menerusi aplikasi WhatsApp dalaman dan awam bagi membolehkan tindakan diambil secara masa nyata.

Menterinya Dato Seri Julaihi Narawi berkata kumpulan berkenaan diwujudkan bagi menghubungkan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta orang awam supaya sebarang masalah perkhidmatan utiliti dapat disalurkan dan ditangani dengan lebih pantas.

“Kita galakkan supaya mana-mana aduan disalurkan terus sama ada dalaman ataupun luar kepada kumpulan WhatsApp supaya masalah dapat diselesaikan secara segera,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti dan Inovasi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak 2026 di sini hari ini. 

MENTERI Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) Dato Seri Julaihi Narawi (kanan) menyampaikan sijil dan plak kepada penerima sempena sambutan Hari Integriti dan Inovasi kementerian itu, hari ini. Foto BERNAMA

Dalam pada itu, Julaihi berkata kementerian turut memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti organisasi menerusi pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) ISO 37001:2025 bagi memastikan setiap amanah pembangunan dilaksanakan dengan penuh integriti.

Beliau berkata pelaksanaan sistem itu mempunyai hubungan signifikan dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam memastikan pembangunan infrastruktur utiliti dan telekomunikasi disokong institusi yang berintegriti serta tadbir urus berkesan.

“Nilai integriti perlu dihayati setiap warga kementerian, khususnya dalam pengurusan projek infrastruktur utiliti, kelulusan lesen dan permit serta perkhidmatan sokongan,” katanya. – Bernama