Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Mu’azamir kembali ke Bumi Kenyalang, tekad kekalkan Sarawak sebagai kuasa sukan negara
  • TEMPATAN

Mu’azamir kembali ke Bumi Kenyalang, tekad kekalkan Sarawak sebagai kuasa sukan negara

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Hamzah bersalaman dengan  Mu’azamir Jili selepas sidang media Kejohanan Beregu Skuasy Asia Ketiga di Bangunan Baitulmakmur II, di Petra Jaya hari ini.

PETRA JAYA: Selepas lebih sedekad menimba pengalaman di peringkat kebangsaan, Mu’azamir Jili kembali ke Bumi Kenyalang dengan misi memastikan Sarawak terus kekal sebagai kuasa besar sukan negara serta mempertahankan kecemerlangan yang telah dibina selama ini.

Bekas Pengarah Cawangan Pembangunan Potensi, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) itu dilantik secara rasmi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Majlis serah tugas bagi kedua-dua jawatan tersebut disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSC dan Pemangku Pengarah MSNS, Khairul Nizam Morshidi serta disaksikan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Nancy Jolhi.

Pelantikan Mu’azamir dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan kesinambungan dasar serta agenda pembangunan sukan negeri terus diperkasakan, terutama ketika Sarawak sedang membuat persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan Asia Tenggara akan datang.

Ketika ditemui media selepas sidang media Kejohanan Beregu Skuasy Asia Ketiga di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini, Mu’azamir berkata fokus terdekat beliau adalah membantu Sarawak mempertahankan kedudukan sebagai juara keseluruhan Sukma.

Menurutnya, kebanyakan persiapan telah berada pada landasan yang tepat dan beliau mahu memastikan momentum kecemerlangan itu dapat diteruskan.

“Keutamaan saya sekarang ialah Sukma. Masa yang ada tidak panjang, namun saya melihat persiapan yang dibuat setakat ini sudah berada pada tahap yang baik.

“Apa yang penting ialah bagaimana saya dapat membantu meningkatkan lagi peluang Sarawak untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya.

Beliau berkata, selain Sukma, tumpuan turut diberikan kepada persediaan Sarawak sebagai tuan rumah Sukan Asia Tenggara yang memerlukan perancangan rapi serta kerjasama semua pihak.

Katanya, reputasi Sarawak sebagai penganjur kejohanan sukan bertaraf tinggi telah mendapat pengiktirafan banyak pihak termasuk di peringkat kebangsaan.

“Saya dimaklumkan ramai yang cukup kagum dengan kemampuan Sarawak menganjurkan kejohanan besar sebelum ini.

“Sarawak kini berada pada satu tahap yang tinggi dalam aspek penganjuran sukan dan kita mahu memastikan standard itu terus dikekalkan,” katanya.

Mu’azamir yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah JBSN Pahang dari 2019 hingga 2025 berkata, kejayaan sesebuah negeri dalam sukan tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan.

Menurutnya, pembangunan atlet bermula daripada sokongan ibu bapa, komitmen persatuan sukan, pentadbiran yang berkesan serta kesungguhan atlet sendiri.

“Untuk memajukan sukan, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Ia melibatkan ibu bapa, persatuan sukan, atlet, jurulatih dan pentadbiran.

“Sukan adalah usaha berpasukan. Jika satu pihak sahaja bekerja, sukar untuk kita mencapai kejayaan yang diinginkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan atlet tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan pulangan segera kerana proses melahirkan atlet berprestasi tinggi memerlukan masa, pengorbanan dan komitmen berterusan.

“Melahirkan seorang atlet bukan perkara mudah. Ia memerlukan proses yang panjang, pengorbanan, air mata dan usaha yang berterusan.

“Sebab itu semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan Sarawak terus menjadi kuasa sukan nombor satu di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, beliau bercadang mengadakan sesi libat urus bersama persatuan sukan negeri dalam masa terdekat bagi mengenal pasti cabaran semasa serta merangka hala tuju baharu pembangunan sukan Sarawak.

Sementara itu, warga SSC dan MSNS turut merakamkan penghargaan kepada Khairul Nizam atas komitmen serta kepimpinan beliau sepanjang memangku kedua-dua jawatan berkenaan, khususnya dalam memastikan kelancaran operasi organisasi serta program pembangunan atlet negeri.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Pemimpin adat digesa jadi benteng cegah perkahwinan bawah umur
Next: ‘Cermin diri sendiri dulu’ – Abdul Karim tempelak FAM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.