KUCHING: Kebanyakan orang bersetuju mengenai cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah memastikan pihak bank melanjutkan tempoh moratorium sedia ada sekurang-kurangnya enam bulan lagi.
Seorang pegawai bomba, Raden Budiwadawi, 35, berkata, cadangan MTUC kepada Kementerian Kewangan dan BNM untuk melanjutkan tempoh moratorium kepada enam bulan lagi adalah cadangan baik akibat pandemik Covid-19 ini.
Raden bersetuju dengan cadangan ini kerana ia dapat membantu golongan yang terjejas pendapatan tetap akibat kehilangan pekerjaan mereka.
“Ini kerana secara tidak langsung dapat mengurangkan komitmen bulanan tetapi menambah pendapatan golongan tersebut.
“Bagi golongan kehilangan pekerjaan, mereka perlu mencari sumber pendapatan untuk membayar komitmen seperti kereta, rumah dan juga pinjaman peribadi,” katanya.
Secara jujur Raden berkata, inisiatif yang dilaksanakan kerajaan banyak membantu golongan yang terjejas pendapatan tetap mereka.
Beliau berharap cadangan yang dikemukan oleh MTUC dipertimbangkan secara lanjut dan sekiranya tidak menjejaskan pendapatan negara bolehlah dilanjutkan moratorium seperti yang dicadangkan.
Menurut seorang penjawat awam, Law Kim Hin, 53, berkata, ini adalah tindakan terbaik dari MTUC mencadangkan kepada Kementerian Kewangan dan BNM untuk melanjutkan tempoh enam bulan lagi moratorium.
Menurutnya, dia bersetuju kerana ia membantu pekerja di sektor swasta dan bekerja sendiri yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan semasa penularan pandemik Covid 19.
Selain itu, ia juga adalah untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman.
“Dengan perlanjutan tempoh moratorium untuk enam bulan lagi, mereka yang hilang pekerjaan atau sumber pendapatan boleh mencari alternatif lain untuk menyelesaikan hutang tertangguh itu,” katanya.
Ujar Law, dia berharap Kementerian Kewangan dan Bank Negara akan bersetuju dengan cadangan MTUC melanjutkan moratorium selama enam bulan lagi untuk peminjam menyelesaikan masalah kewangan yang didapati mereka.
Sementara itu, beliau berharap semoga ekonomi negara akan pulih dan peluang pekerjaan di sektor swasta pulih sedia kala.
Oleh Cheryl Law