Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • MTPN gesa pengguna guna saluran aduan rasmi elak jadi mangsa penipuan
  • SEMASA

MTPN gesa pengguna guna saluran aduan rasmi elak jadi mangsa penipuan

Utusan Sarawak 3 hours ago
GAMBAR hiasan. Foto janaan AI

KUCHING: Orang ramai disaran supaya lebih proaktif menggunakan saluran aduan rasmi yang disediakan kerajaan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan digital yang semakin berleluasa, khususnya melibatkan pembelian barangan secara dalam talian.

Peningkatan kes penipuan yang menggunakan tawaran barangan keperluan harian pada harga terlalu murah dilihat semakin membimbangkan, sekali gus menuntut pengguna supaya lebih berwaspada serta memahami mekanisme perlindungan yang tersedia.

Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Lucas Lau, berkata masyarakat tidak seharusnya hanya berkongsi amaran atau meluahkan kekecewaan di media sosial tanpa membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa.

“Sebagai sebuah majlis prokerajaan, kita melihat masalah utama bukanlah ketiadaan undang-undang, sebaliknya masih ramai pengguna yang tidak mengetahui saluran perlindungan yang telah disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, selaras dengan prinsip ‘Suara Kita, Kuasa Kita’, setiap kes penipuan perlu disalurkan terus kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil, bukan sekadar ditularkan di media sosial.

Lucas berkata, antara saluran penting yang perlu dimanfaatkan ialah Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 yang berfungsi membantu menyekat transaksi kewangan dalam tempoh kritikal selepas kejadian penipuan berlaku.

Selain itu, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut menyediakan saluran tuntutan sehingga RM50,000 bagi kes berkaitan pembelian dalam talian tanpa memerlukan khidmat peguam.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi Ez ADU serta sistem e-KPDN bagi memudahkan aduan berkaitan isu kepenggunaan dikemukakan.

Menurut beliau, berdasarkan data rasmi kerajaan, kerugian akibat penipuan dalam talian di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 telah mencecah RM830 juta, sekali gus menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.

Dalam pada itu, Lucas menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran harga yang terlalu murah serta membuat semakan menyeluruh sebelum melakukan sebarang transaksi.

Katanya, semakan boleh dibuat melalui SSM BizTrust bagi mengesahkan status peniaga, selain menggunakan portal atau aplikasi Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon.

“MTPN Sarawak sentiasa komited membantu pengguna mendapatkan bimbingan serta nasihat dalam menguruskan aduan rasmi demi memastikan hak pengguna terus terpelihara,” katanya.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Kerjasama Sarawak, ATM diperkukuh demi keselamatan sempadan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.