Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • MoU perkukuh usaha Sarawak bangun pusat induk talapia hitam
  • TEMPATAN

MoU perkukuh usaha Sarawak bangun pusat induk talapia hitam

Utusan Sarawak 5 hours ago
DOMINIC (dua kanan) bertukar dokumen MoU dengan Odd Magne Rodseth (tiga kanan) sambil disaksikan oleh Dato Sri Dr Stephen Rundi anak Utom di Kuching, hari ini.

KUCHING: Sarawak bakal membangunkan Pusat Penyelidikan dan Induk Talapia Hitam bagi memperkukuh industri akuakultur negeri melalui kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan syarikat berpangkalan di Norway, Blue Future Holding.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pertanian Sarawak (DoA) dan Blue Future Holding menjadi titik permulaan baharu dalam agenda transformasi sektor akuakultur negeri yang berasaskan penyelidikan, teknologi dan kelestarian.

“Kerjasama ini bukan sahaja menandakan komitmen kita terhadap pembangunan industri ikan air tawar, malah membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan kepakaran dalam bidang genetik ikan yang terbukti berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU tersebut di sini, hari ini.

Menurut beliau, projek berimpak tinggi itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan baka talapia hitam yang mempunyai kualiti genetik unggul, lebih tahan terhadap penyakit dan sesuai dengan iklim tropika tempatan.

“Melalui perkongsian teknologi bersama Blue Future Holding dan anak syarikatnya Genomar Genetics Asia, kita dapat mempercepatkan kematangan baka, meningkatkan kadar tumbesaran serta menjamin bekalan ikan yang lebih stabil dan berkualiti,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pembangunan pusat berkenaan akan memperkukuh rantaian bekalan ikan talapia Sarawak yang kini mencatat pengeluaran lebih 14,000 tan metrik setahun, sekali gus menyokong dasar keselamatan makanan negeri.

“Kita mahu melihat Sarawak bukan sekadar pengeluar untuk pasaran tempatan, tetapi sebagai pengeksport utama ke pasaran serantau seperti Singapura dan ASEAN,” katanya sambil menyifatkan projek itu sebagai satu pemangkin transformasi (game changer) bagi industri akuakultur tempatan.

Beliau turut memaklumkan, kawasan seluas 80 hektar telah dikenal pasti untuk pembangunan pusat tersebut, dengan 20 hektar daripadanya diperuntukkan khusus bagi aktiviti penyelidikan dan pembiakan induk.

“Dengan adanya pusat ini, kita berupaya melahirkan lebih ramai usahawan tani moden, termasuk dalam kalangan belia, melalui penyediaan benih ikan berkualiti dan kemudahan fasiliti yang serba lengkap,” jelasnya.

Katanya, kerajaan negeri turut merancang memperluas zon ternakan ikan di empangan-empangan utama seperti Batang Ai, Bakun, Murum dan Baleh, yang mempunyai potensi besar untuk ternakan sangkar berskala komersial.

Majlis menandatangani MoU berkenaan disaksikan oleh Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, dengan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat mewakili kerajaan negeri, manakala Blue Future Holding diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Odd Magne Rodseth.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata Sarawak mempunyai kelebihan semula jadi untuk pembangunan akuakultur kerana kedudukan negeri ini di luar Lingkaran Api, sekali gus bebas daripada risiko bencana besar seperti taufan.

“Iklim dan sumber air kita sangat sesuai untuk ternakan ikan. Dengan teknologi genetik dan sistem pengurusan moden, kita dapat meningkatkan produktiviti sekaligus menambah pendapatan masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau menambah, selain talapia hitam, kerajaan negeri turut meninjau potensi pembangunan spesies lain seperti ikan barramundi pada masa hadapan sebagai langkah memperluas skop industri akuakultur Sarawak.

“Dengan MoU ini, kita meletakkan asas kepada masa depan sektor perikanan darat Sarawak bukan sahaja untuk pengeluaran talapia, tetapi untuk generasi baharu penternakan ikan yang lebih mampan,” ujarnya.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat pihak JPJ Sarawak
Next: Pesawat C919 khas sempena Sukan Kebangsaan China ke-15

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.