
BINTULU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan arahan kepada syarikat pelancongan untuk mengemukakan laporan kemalangan dalam tempoh 24 jam adalah langkah penting bagi menjamin keselamatan pelancong.
Menterinya, Dato’ Seri Tiong King Sing berkata, tiada kompromi dalam hal yang melibatkan nyawa dan tindakan segera perlu diambil bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan pantas serta tepat.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang menganggap arahan tersebut sebagai ekstrem.
Menurut Tiong, laporan segera bukan bermaksud mengaku bersalah, sebaliknya membolehkan pihak berkuasa mendapatkan data penting seperti latar belakang pemandu, status teknikal kenderaan dan maklumat perjalanan sebelum dan selepas kejadian.
Tambahnya, beberapa insiden sebelum ini membabitkan bas dan bot pelancong telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat serta menjejaskan keyakinan pelancong asing.
Malah, terdapat kes melibatkan pengendali yang menggaji pemandu dengan rekod jenayah dan gagal menyediakan jaket keselamatan kepada penumpang.
“Keselamatan pelancong adalah keutamaan, kita tidak boleh berkompromi atas alasan kekurangan tenaga kerja atau mengejar keuntungan,” katanya.
Ahli Parlimen Bintulu itu turut mempersoalkan peranan MATTA dalam meningkatkan tahap keselamatan dalam kalangan ahli mereka sejak beliau menerajui MOTAC dan menggesa semua pihak industri supaya mengambil tanggungjawab penuh dalam memastikan pematuhan kepada garis panduan keselamatan.
Tegasnya, MOTAC akan terus melaksanakan peraturan sedia ada secara tegas dan bersedia mengadakan dialog bersama penggiat industri untuk membina ekosistem pelancongan yang lebih selamat dan progresif.
Oleh Carolyne Utih