KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) akan membantu menganjurkan pakej pelancongan dengan kerjasama sektor perhotelan untuk menggalakkan orang ramai melancong dalam negara.
Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, dalam pada itu sektor perhotelan juga perlu kreatif dalam menganjurkan program bagi menarik kedatangan pelancong.
“Dengan menganjurkan program bersifat kreatif termasuk menawarkan pakej lebih menarik, saya percaya sekurang-kurangnya boleh membantu dari segi penginapan bagi hotel bajet,” katanya kepada pemberita pada program Makan Malam Santai Bersama beliau di Rock Road Seafood, di sini, baru-baru ini.
“Dalam industri perhotelan termasuk hotel bajet ataupun hotel yang berada di bandar, ia tidak seperti hotel peranginan yang mempunyai daya tarikan. Hotel di bandar kebiasaannya bergantung kepada mesyuarat, persidangan dan pameran,” katanya.
Menurut beliau, sektor pelancong domestik kini mula menunjukkan perkembangan dengan tempat peranginan mendapat sambutan menggalakan.
“Ia melegakan kita sebab apabila ramai orang bercuti, sekurang-kurangnya hotel pun mendapat kesannya dan pada masa sama mereka yang bekerja dalam industri perhotelan boleh meneruskan pekerjaan mereka,” katanya.
“Kita perlu membantu kerana seperti yang saya cakap pendapatan boleh guna menjadi sangat terhad maka sebab itu kita sebagai MOTAC perlu membantu.
“Sebab itu pakej rangsangan kita bekerjasama dengan pihak hotel dan pihak persatuan dalam menjayakan pakej yang dianjurkan bersama.
“Sebagai misalan kalau tinggal tiga hari pertama pelancong kena bayar. Hari kedua dia bayar mungkin 70 peratus, kita tambah 30 peratus. Hari ketiga mungkin 50 peratus,” jelasnya.
Tambah beliau, semua ini adalah untuk menggalakkan penduduk tempatan ataupun Malaysia untuk melancong di dalam negara.