
HOUSTON, Amerika Syarikat: Ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu, percaya semangat berpasukan yang tinggi mampu membawa skuadnya mara ke pusingan 16 terakhir apabila berdepan Brazil dalam aksi pusingan 32 Piala Dunia di Houston pada 12.00 tengah malam ini (waktu Malaysia).
Dianggap sebagai antara pasukan “kuda hitam” pada kejohanan di Amerika Utara, Jepun menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan di belakang Belanda selepas mencatat satu kemenangan dan dua keputusan seri.
Menjelang perlawanan kalah mati menentang juara dunia lima kali itu, Moriyasu memuji komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh semua pemainnya.
“Semua pemain akan melakukan yang terbaik demi pasukan dan memberikan sumbangan masing-masing.
“Pasukan ini bersatu dan semangat itu semakin kukuh dari semasa ke semasa,” katanya.
Moriyasu sekali lagi tidak dapat menurunkan pemain sayap, Takefusa Kubo, yang mengalami kecederaan lutut ketika Jepun seri 2-2 dengan Belanda dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia mereka.
Jepun menewaskan Brazil 3-2 dalam perlawanan persahabatan di laman sendiri pada Oktober lalu. Namun, Moriyasu percaya skuad kendalian Carlo Ancelotti kali ini bakal memberikan cabaran yang jauh berbeza.
Beliau menjangkakan Brazil akan turun dengan motivasi tinggi untuk membalas kekalahan tersebut.
“Ini merupakan pasukan yang berbeza dan mereka pasti lebih bermotivasi untuk menentang kami. Mereka berazam untuk menewaskan kami.
“Kami menjangkakan perlawanan ini akan berlangsung dengan amat sengit.
“Kami mempunyai peluang, walaupun ia pasti sukar. Kami akan mengerah segala kemampuan,” katanya.
Jepun belum pernah melepasi pusingan 16 terakhir Piala Dunia, manakala Brazil memburu kejuaraan keenam bagi melebarkan rekod sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan itu.
Brazil juga memiliki kelebihan daripada segi tempoh rehat selepas menamatkan aksi peringkat kumpulan sehari lebih awal berbanding Jepun.
Moriyasu mengakui keadaan itu meletakkan Jepun dalam kedudukan yang agak kurang menguntungkan, namun menegaskan ia bukan alasan untuk tidak mempamerkan aksi terbaik.
Pemenang perlawanan itu akan berdepan Norway atau Ivory Coast pada pusingan seterusnya.
Empat tahun lalu, Jepun mengejutkan Jerman dan Sepanyol pada peringkat kumpulan sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Croatia pada pusingan 16 terakhir.
Brazil pula tersingkir pada peringkat suku akhir, juga menerusi penentuan sepakan penalti kepada Croatia. – AFP