SFC memasang perangkap monyet di Kampung Tian, semalam.
MATU: Monyet liar ‘menyerang’ Kampung Tian di sini sejak kebelakangan ini hingga meresahkan penduduk terutama pada waktu malam.
Hingga kini, sekurang-kurangnya 10 penduduk kampung mengadu digigit haiwan itu yang berjaya menyeludup masuk ke dalam rumah.
Tidak pasti punca sebenar monyet masuk kampung, sama ada kelaparan untuk mencari makanan atau keadaan cuaca panas.
Salah seorang mangsa, Zakaria Rapaee, 63, berkata dia terpaksa menerima rawatan di klinik kampung setelah digigit monyet di bahagian kepala selepas tengah malam.
“Saya tengah lena tidur apabila terasa sesuatu menerkam di bahagian kepala.
“Pada mulanya saya ingat budak yang menerkam kepala saya. Saya terkejut rupa-rupanya monyet.
“Kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 pagi,” katanya kepada Utusan Sarawak di sini semalam.
Bagaimanapun, dia tidak pasti dari pintu mana monyet masuk ke dalam rumah.
Beliau berharap pihak berwajib melakukan sesuatu untuk mengambil tindakan susulan bagi mengelak ramai lagi mangsa monyet liar.
Seorang lagi penduduk kampung memberitahu emaknya turut menjadi mangsa apabila monyet tiba-tiba masuk ke dalam rumah dua malam lalu.
“Emak saya ketika itu sedang menonton televisyen dan tiba-tiba monyet menerkam mengigit tangan .
“Monyet itu dikatakan mahu mengambil buah dan dilihat mahu melawan. Ini yang bahaya,” katanya.
Seorang lagi mangsa adalah budak kecil apabila monyet masuk ke dalam rumah kira-kira jam 1 pagi.
Kebanyakan serangan itu berlaku di Kampung Hilir, Tian tetapi kejadian serupa juga dilaporkan di Kampung Hulu dan Kampung Tengah, Tian.
Berikutan itu, kebanyakan penduduk terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah termasuk pada siang hari.
Malah kalangan ibubapa juga bimbang mengenai keselamatan anak mereka, dikhuatiri diserang monyet liar.
Menurut penduduk kampung, kehadiran monyet memasuki rumah berlaku sejak dahulu lagi tetapi kali ini, ia mula mengigit manusia.
Mereka berharap pihak berkuasa mengambil tindakan termasuk operasi memerangi monyet liar sama ada menangkap menggunakan perangkap tertentu atau menembak dengan peluru getah.
Sementara itu, pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) sudah berada di Kampung Tian petang semalam bagi memasang jerat atau perangkap monyet.