KUALA LUMPUR: Malaysia bergelut untuk mengekalkan momentum eksport pada Ogos berikutan permintaan yang lemah dari negara serantau, menyebabkan jumlah eksport negara menguncup 2.9 peratus tahun ke tahun selepas mencatat pertumbuhan positif selama dua bulan berturut-turut.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Investment) berkata eksport daripada rakan dagang utama seperti China dan Amerika Syarikat kekal kukuh pada bulan itu dengan pertumbuhan dua angka tahun ke tahun masing-masing sebanyak 20.9 peratus dan 13.6 peratus, dipacu antara lain oleh jualan produk elektrik dan elektronik (E&E) dan getah.
“Bagaimanapun, eksport ke blok ASEAN yang menyumbang kira-kira 28 peratus daripada jumlah eksport Malaysia dijejaskan oleh lapan peratus tahun ke tahun, diheret turun oleh prestasi eksport secara keseluruhan pada bulan itu,” katanya dalam nota penyelidikan semalam.
Menurutnya, penghantaran keluar ke negara-negara utama di blok itu, kecuali Singapura, merosot dengan Thailand mencatatkan penurunan terbesar iaitu 23.9 peratus tahun ke tahun.
“E&E dan produk kimia yang merupakan produk eksport terbesar ke Thailand merosot masing-masing 13.5 peratus tahun ke tahun dan 23.9 peratus tahun ke tahun.
“Sementara itu, Singapura merekodkan pertumbuhan yang kecil iaitu 0.8 peratus tahun ke tahun yang mana prestasi itu dipengaruhi oleh penyusutan jualan produk-produk lain walaupun pertumbuhan eksport yang kukuh sebanyak 11.3 peratus tahun ke tahun dan 26.2 peratus tahun ke tahun dalam E&E dan produk petroleum,” katanya.
MIDF Investment berkata permintaan yang lembap dari negara-negara serantau mencerminkan keadaan ekonomi di negara-negara itu yang terjejas ketara akibat pandemik dan mengambil masa lebih panjang untuk mencatat pemulihan yang mampan.
Bagaimanapun, menurutnya eksport semula Malaysia mencatatkan pengembangan 8.5 peratus tahun ke tahun, namun tidak mampu mengimbangi penguncupan eksport domestik pada 4.9 peratus tahun ke tahun berikutan eksport domestik menyumbang 82 peratus daripada jumlah eksport.
Sementara itu, MIDF Investment berkata import terus berada dalam segmen negatif walaupun meningkat -6.5 peratus tahun ke tahun daripada -8.7 per cent tahun ke tahun pada Julai.
“Memandangkan import berdepan kesukaran berbanding eksport, lebihan dagangan adalah sebanyak RM13.2 bilion. Berasaskan bulanan, eksport dan import masing-masing merosot 14.5 peratus bulan ke bulan dan 2.2 peratus bulan ke bulan,” katanya.
MIDF Investment berkata ia mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport sebanyak -3.5 peratus tahun ke tahun pada 2020 berikutan jualan produk-produk yang terpilih terutamanya produk E&E, minyak sawit dan getah.
“Kami menjangkakan aliran peningkatan jualan secara keseluruhan bagi produk-produk ini akan berterusan sepanjang tahun ini sejajar dengan pembukaan semula aktiviti-aktiviti di peringkat global,” katanya. – Bernama