ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Penjaja dan peniaga kecil tanpa lesen yang beroperasi di kawasan selia Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang ingin medapatkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 2.0 harus terlebih dahulu mendaftar permit sementara.
Pengerusi MPP, Lo Khere Chiang berkata permit sementara tersebut merupakan syarat awal bagi mereka untuk memohon bantuan khas tersebut.
“Terdapat borang yang disediakan untuk penjaja dan peniaga kecil yang tidak berlesen yang ingin memohon permit sementara daripada MPP secara atas talian.
“Penjaja dan peniaga yang tidak berlesen juga boleh merujuk kepada kriteria atau syarat untuk memeriksa adakah mereka memenuhi syarat untuk mendapatkan bantuan ini dan bagaimana untuk memohon bantuan ini.
“Bantuan ini menyediakan bantuan kewangan khas berjumlah RM1,500.00 kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan,” jelas Lo dalam kenyataan medianya semalam.
Katanya, borang permohonan boleh dimuat turun dari Laman Web MPP https://mpp.sarawak.gov.my.
“Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Perlesenan MPP di talian 082-615566 samb. 135/282/130 semasa waktu pejabat,” ujarnya.
Beliau menambah bagi penjaja dan peniaga kecil berlesen dengan MPP, mereka hanya perlu mendaftar dengan Sarawak Pay dan bantuan khas akan diberikan kepada mereka kemudian.
Lo turut memuji pemberian khas RM1,500 kepada penjaja dan peniaga kecil di bawah Pakej Bantuan Sarawakku Sayang Sarawak 2.0, kerana akan mengurangkan beban mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bantuan tersebut adalan tepat pada masanya untuk menolong peniaga skala kecil menghadapi masa sukar.
“Dan ini memang merupakan sikap yang sangat mulia daripada Kerajaan Sarawak kita dalam membantu penjaja dan peniaga kecil pada masa sukar ini.
“Jumlahnya mungkin tidak banyak tetapi sudah tentu ini menjadi jalan keluar bagi peniaga kecil yang tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana PKP,” ujanya.
Beliau turut memberitahu penjaja dan peniaga kecil ini telah mematuhi PKP dengan tidak menjalankan perniagaan mereka untuk mengekang penyebaran Covid-19.