
LIMBANG: Perbincangan akan diadakan dengan Brunei untuk melanjutkan waktu operasi pos sempadan antara Sarawak dan Brunei agar dapat dipanjangkan sehingga 12.00 tengah malam.
Ini bertujuan bagi mengelak kesesakan di pintu sempadan ketika perayaan Aidilfitri.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, isu dan masalah kesesakan di pintu masuk sempadan merupakan masalah utama yang dihadapi penduduk di Limbang, Lawas dan Miri terutama musim perayaan dan cuti persekolahan.
“Seperti tahun lepas, kita juga mengadakan perbincangan dengan Brunei untuk mengurus pergerakan trafik supaya dapat mengurangkan kesesakan di pintu masuk sempadan,”katanya ketika ditemui media selepas Penyampaian Sumbangan Hari Raya Kepada Pegawai-Pegawai Masjid dan Surau, Ibu Tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), Anak-Anak Yatim di Masjid Jannatul Firdaus Bahagian Limbang, hari ini.
Terdahulu, Brunei telah melanjutkan masa operasi di Pos Kawalan Darat Brunei sehingga 12.00 tengah malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) lepas.
Lanjutan masa hingga 12.00 malam itu melibatkan Pos Kawalan Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujong Jalan, Pos Kawalan Imigresen Sementara Labu, Pos Kawalan Imigresen Sementara Kuala Lurah Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik Premier Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa serta barisan tetamu lain.
OLEH ADENG EDRUS