KUCHING: Program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membolehkan pencarum melakukan pengeluaran wang caruman dilihat sebagai satu sinar harapan bagi rakyat Malaysia yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.
Program ini diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang mana permohonan secara atas talian boleh mula dibuat bermula semalam (1 April).
Namun, kaedah permohonannya tidak semudah yang disangka dan ramai rakyat yang mengeluh kerana menghadapi masalah sewaktu cuba memohon secara atas talian semalam seperti laman sesawan KWSP tidak dapat dibuka disebabkan trafik yang mana terlalu ramai orang membuka atau cuba melayarinya dalam satu masa.
Justeru itu, pihak KWSP dipohon untuk segera mencari jalan penyelesaian bagi membantu memudahkan permohonan bantuan program i-Lestari ini.
Semalam, ibu pejabat KWSP Sarawak yang terletak di Kuching dibanjiri orang ramai pada seawal jam 9 pagi untuk mereka cuba membuat permohonan, mengemaskini data dan sebagainya kerana tidak dapat membuat permohonan atas talian dan tidak kurang juga mereka yang tidak pandai memohon secara atas talian.
Rata-rata yang hadir meluahkan kekecewaan kerana pejabat itu ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan satu notis penutupan diletakkan dihadapan pintu masuk KWSP iaitu ia ditutup dari 18 Mac hingga 14 April 2020 dan memohon orang ramai menggunakan perkhidmatan dalam talian i-akaun (ahli) dan i-akaun (majikan).
Bagaimanapun pejabat itu mulai lengang sekitar jam 2 petang dan kelihatan hanya beberapa orang yang datang dan kemudian beredar selepas diarahkan oleh pihak bertugas di bangunan terbabit selain pihak polis datang untuk memantau dan mengarahkan mereka untuk pulang.
Suasana kehadiran orang ramai yang bersesak itu turut mengundang kebimbangan di kalangan warganet, yang khuatir menyebabkan penularan Covid-19.
Salah seorang individu yang enggan dikenali ditemui Utusan Sarawak di sana semalam meluahkan kekecewaan kerana katanya program ini sepatunya menolong rakyat, sepatunya sedikan platform yang lebih mudah untuk memohon.
“Saya datang dari Kota Samarahan, dan terpaksa melalui sekatan polis yang sangat ketat untuk ke sini, selain sekarang Sarawak tidak membenarkan perjalanan antara daerah, sampai sini pejabat pula tutup.
“Tolonglah pihak kerajaan dan KWSP mencari penyelesaian, jangan biarkan rakyat berjalan ke sana sini semata-mata untuk memohon lebih-lebih lagi sekarang tempoh PKP.
“Permohonan atas talian pula tidak dapat dilakukan malah laman sesawang tidak dapat dibuka, saya pernah beberapa kali cuba menghubungi KWSP melalui saluran laman sosial seperti Twitter, Facebook.
“Mereka mengatakan saya perlu pergi ke kiosk KWSP untuk melakukan kemaskini yang mana saya sudah menukar number telefon, ini masalah mudah, tetapi kenapa perlu disulitkan,” katanya.
Manakala seorang lelaki yang turut enggan dikenali dari Kampung Stakan Melayu berkata, beliau adalah seorang penjaja yang menjaja makanan dari kampung ke kampung, tetapi pendapatannya terjejas sepanjang PKP.
“Jadi apabila saya mendengar program ini, saya berasa lega dan turut cuba memohon kerana tidak pandai menggunakan atas talian, jadi saya ke ibu pejabat ini untuk meminta bantuan, tetapi malangnya ia ditutup.
“Dahulu saya pernah bekerja dan mempunyai potongan KWSP, jadi ini adalah masa sesuai saya memohonnnya, kerana sekarang saya langsung tiada pendapatan termasuk untuk membeli makanan.
“Sekarang duit tinggal beberapa ratus sahaja untuk modal, itu sahaja untuk makan, jadi saya mahu menggunakan wang KWSP ini untuk membeli makanan dan menampung kehidupan,” ujarnya. Tambahnya, beliau mengharapkan Kerajaan dapat menyalurkan bantuan lebih awal jangan menunggu sehingga hujung April kerana rakyat sepertinya sudah tiada punca pendapatan pada masa ini.