
PARIS: Pemain veteran Croatia, Luka Modric, melanjutkan kontraknya bersama AC Milan selama semusim lagi, umum kelab Serie A itu pada Khamis.
Pemain tengah itu bakal berusia 41 tahun dalam tempoh kurang dua bulan, namun komited untuk terus bersama Milan sehingga 30 Jun 2027.
Modric menyertai gergasi bola sepak Itali itu pada 2025 dan menjaringkan dua gol dalam 37 penampilan musim lalu.
“Antara pemain terbaik dan paling ikonik dalam bola sepak dunia, bintang Croatia itu akan meneruskan perjalanan bersama Rossoneri,” kata AC Milan dalam satu kenyataan.
Modric membantu Croatia mara ke final Piala Dunia 2018 selain memenangi anugerah Ballon d’Or pada tahun yang sama. Sepanjang bersama Real Madrid dari 2012 hingga 2025, beliau turut menjulang enam gelaran Liga Juara-Juara UEFA.
Pada Piala Dunia musim panas ini, Modric mengetuai Croatia mara ke pusingan 32 terbaik sebelum tersingkir secara dramatik di tangan Portugal.
Selepas menamatkan saingan Serie A di tangga kelima berikutan musim yang mengecewakan, AC Milan menukar jurulatih dengan bekas pengendali Manchester United, Ruben Amorim, menggantikan Massimiliano Allegri.
Milan turut memperkukuh skuad dengan mendapatkan penyerang tengah Portugal, Goncalo Ramos dari Paris Saint-Germain menerusi perpindahan bernilai lebih 70 juta euro (AS$80 juta), selain pertahanan Sepanyol, Mario Gila dari Lazio dengan nilai sekitar 30 juta euro, menurut laman sesawang pakar perpindahan bola sepak, Transfermarkt. — AFP





