TARIKH 8 Mac 2014 pasti membawa catitan yang dianggap sebagai penuh misteri dalam sejarah aviasi negara, dan mungkin dunia. Pesawat Boeing 777-200ER milik Malaysia Airlines, MH370 hilang daripada pengesanan radar pusat kawalan trafik udara (ATC) selepas kira-kira 38 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Lapangan Antarabangsa Beijing Capital.
Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berkenaan, walaupun masih dapat dikesan oleh radar tentera selama sejam seterusnya, namun, melepasi jarak pengesanan pada titik 200 nautika (370 kilometer) barat laut Pulau Pinang. Tidak dapat dikenal pasti akan titik pesawat berkenaan diandaikan ‘terhempas’, dan sehingga kini, kehilangannya masih berselubung misteri. Tragedi berkenaan bukanlah yang terburuk pernah terakam dalam sejarah aviasi negara memandangkan kira-kira empat bulan selepas peristiwa tersebut, negara digemparkan lagi oleh tragedi MH17, yang ditembak jatuh semasa terbang melintasi ruang udara timur Ukraine yang bergolak dengan konflik.
Dalam jangka masa rakaman tragedi yang dianggap agak rapat dalam sejarah aviasi negara, timbul beberapa andaian serta teori berhubung kedua-dua kejadian berkenaan. Namun, antara kedua-duanya, penagihan jawapan lebih memberat kepada kehilangan pesawat MH370. Walaupun usaha pencarian dilakukan secara kolaboratif antara Malaysia dan negara Australia, China, Filipina, Amerika Syarikat, India, Indonesia, New Zealand, Singapura, Taiwan, Thailand serta Vietnam, dalam bentuk aset serta personel, namun, jawapan yang dinanti-nantikan oleh keluarga anak-anak kapal serta penumpang khususnya, dan rakyat jelata, amnya, gagal diperoleh, memaksa operasi berkenaan dihentikan. Operasi pencarian yang dianggap sebagai termahal.
Setelah lapan tahun peristiwa tersebut berlalu, masih belum ada petanda pasti akan kedudukan sebenar bangkai pesawat berkenaan (jika pesawat tersebut benar-benar terhempas). Selama tempoh berkenaan, ahli keluarga anak kapal dan penumpang masih menaruh harapan operasi pencarian diusahakan sehingga ditemukan jawapan yang pasti. Jawapan yang sekurang-kurangnya meneduh sedikit gelora nubari yang selama ini inginkan kepastian. Namun, disebabkan faktor kos dari segi aset serta personel terlibat, harapan berkenaan kelihatan semakin dizahirkan.
Ekoran hal sedemikian, usaha dilakukan oleh sama ada penyiasat amatur mahupun profesional yang secara persendirian untuk merungkai misteri ‘persemadian’ pesawat berkenaan. Pelbagai hipotesis serta teori dikemukakan, namun kesahihannya sukar ditentukan sebagai bukti kukuh untuk merasionalkan penerusan usaha pencarian. Malah, pelbagai teori dikemukakan tentang punca yang membawa kepada berlakunya tragedi tersebut. Daripada kerosakan enjin pesawat, rampasan pesawat sehinggalah penundingan jari kepada kaptennya, iaitu Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 tahun dari Pulau Pinang, yang menyertai Penerbangan Malaysia pada 1981 dan mempunyai pengalaman penerbangan 18,365 jam. Dakwaan berkenaan dibuat oleh mantan Perdana Australia, Tony Abbott dalam dokumentari bertajuk, MH370: The Untold Story yang ditayangkan di Australia. Namun, dakwaan berkenaan sukar untuk dibuktikan.
Pada bulan Januari 2018, Ocean Infinity, syarikat robotik marin telah melakukan operasi survei untuk mencari bangkai pesawat berkenaan. Berdasarkan pemetaan laluan pesawat, syarikat tersebut mempercayai bahawa pesawat berkenaan berada di kedalaman sekitar 4000 – 6000 meter di kawasan yang disebut sebagai “7th Arch”, di Lautan Hindi Selatan. Malangnya selepas 138 hari operasi pencarian yang meliputi kawasan 125,000 meter persegi, usaha berkenaan tidak membawa kepada apa-apa penemuan.
Terkini, syarikat berkenaan menyatakan hasratnya untuk meneruskan semula usaha pencarian dengan menggunakan aset yang lebih canggih, sekiranya mendapat persetujuan Kerajaan Malaysia. Kementerian Pengangkutan Awam (MOT), dalam kenyataan berhubung perkara itu menjelaskan bahawa kerajaan akan meneruskan usaha pencarian sekiranya terdapat bukti-bukti sahih yang boleh diyakini tentang kedudukan bangkai pesawat berkenaan.
Setelah lapan tahun berlalu, kehilangan pesawat MH370 kekal menjadi misteri. Misteri yang menagih perungkaian kepada pelbagai persoalan, khususnya buat keluarga serta sanak saudara anak kapal dan penumpang. Mungkinkah akan terjawab persoalan yang sekian lama dinanti-nantikan atau akan terus terkuburkah kebenaran yang dicari?
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!