PENYERAHAN… Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Jaul Samion menyaksikan Datu Safri Zainudin (kiri) menyerahkan dokumen tanggungjawabnya kepada Chew Chee Yau di Wisma Bapa Malaysia, Kuching.
KUCHING: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) mahu mengkaji semula proses kerja Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai sebahagian daripada usaha meminimumkan kejadian projek sakit.
Menterinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, JKR mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang canggih, namun masalah itu masih wujud.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis penyerahan dokumen tanggungjawab daripada Setiausaha Tetap Kementerian Datu Safri Zainudin yang bersara kepada penggantinya, Chiew Chee Yau di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Majlis itu juga turut disaksikan dua Timbalan Menteri, Datuk Majang Renggi dan Ir. Aidel Lariwo dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion serta dua timbalannya, Datu Sri Abu Bakar Marzuki dan Datu Ik Pahon.
Mengulas lanjut, Uggah memberitahu, walaupun SOP canggih, kini terdapat 84 projek sakit di negeri ini.
“Persoalannya mengapa ini masih berlaku?. Projek sakit amat kritikal dan ia akhirnya dapat disiapkan kerana rakyat dan kerajaan mempunyai harapan yang sangat tinggi untuk JKR dan kementerian dapat melaksanakannya.
“Jadi, keutamaan kami adalah untuk datang dengan pelan tindakan untuk memastikan ia akan berjaya dilaksanakan,” ujarnya.
Uggah berkata bukan MIPD atau JKR sahaja yang diamanahkan untuk menyampaikan tetapi semua agensi di bawah kementerian itu.
“Semua mesti bekerjasama rapat. Kejayaan penyiapan itu akan memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Uggah yakin di bawah Chiew dan dengan pengalaman bekerjanya yang luas dalam JKR, beliau boleh membantu kementerian, JKR dan semua agensi lain untuk menyuarakan pendapatnya.
Tambah Uggah, terdapat sekitar 9,000 projek bernilai lebih RM48 bilion dan lima pelabuhan di bawah MPID.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga mahu MIPD mengkaji semula dasar, pembangunan dan strategi keseluruhan lima pelabuhan itu.
“Pelabuhan-pelabuhan ini sangat penting… .ia adalah arteri pertumbuhan negeri ini. Sarawak menjangkakan pertumbuhan enam hingga lapan peratus dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030.
“Ini banyak bergantung pada kecekapan pelabuhan kami, pembangunan dan keupayaan untuk menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia kepada pelanggan kami, yang kebanyakannya adalah pelabur asing.
“Jadi, kita juga mesti merancang strategi kita untuk mencapai sasaran ini,” jelasnya.
Uggah berkata, pentadbiran pelabuhan bersedia untuk mencari dan mengguna pakai teknologi tinggi terkini untuk meningkatkan perkhidmatan dan prestasi mereka.
“Jadi, saya harap setiausaha tetap baharu kami boleh memainkan peranannya untuk merangka peningkatan ini,” tambahnya.
Sementara itu, Datu Safri yang bersara semalam selepas dilanjutkan enam bulan, telah menjadi Setiausaha Tetap Kementerian selama 13 tahun.
Beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam negeri selama 40 tahun, bermula sebagai jurutera di ibu pejabat JKR di Kuching dan pernah berkhidmat di Bahagian Sibu dan Kapit.
Penggantinya, Chiew bermula sebagai jurutera eksekutif dengan firma swasta sebelum menyertai JKR pada Ogos 1999.
Beliau juga pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Sri Aman dan di ibu pejabat jabatan termasuk berkhidmat sebagai pengurus projek untuk Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.
Pada Mac 2020, beliau dilantik sebagai pemangku timbalan pengarah jabatan itu.
Oleh NUR AIN OTSMAN