SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi Cawangan Penguatkuasaan Sibu berjaya menggagalkan cubaan seludup dua buah kontena mengandungi minuman keras disyaki belum lulus kastam.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan JKDM Sarawak, semalam, sekitar 8.15 pagi, pasukan anggota Unit Operasi Darat, Cawangan Penguatkuasaan, JKDM Sibu dengan dibantu oleh pegawai penguatkuasaan JKDM Sarikei bertindak atas maklumat orang awam telah mengekori serta memintas satu buah lori trailer yang membawa dua buah kontena yang disyaki membawa barang belum lulus kastam ke arah Kuching.
“Trailer tersebut berjaya ditahan di kawasan di antara Sarikei dan Saratok.
“Hasil pemeriksaan ke atas dua buah kontena tersebut telah menjumpai kontena dipenuhi dengan dagangan minuman keras yang disyaki belum lulus kastam,” ujar Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Dato’ Sharifah Halimah Tuanku Taha.
Hasil pemeriksaan, pasukan JKDM berjaya menjumpai sebanyak 26,409.60 literminuman keras dengan anggaran nilai RM274,042.20serta jumlah anggaran duti kastam yang terlibat berjumlah RM434,699.41.
Justeru, barang kes disita di bawah Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967 dan dibawa ke pejabat Penguatkuasaan JKDM Sibu untuk tindakan selanjutnya.
Manakala, tiga rakyat tempatan sebagai pemandu dan dua orang kelindan lori trailer tersebut turut ditahan di bawah Akta Kastam, 1967 untuk membantu siasatan.
Turut ditahan sama adalah sebuah lori trailer dianggarkan bernilai RM150,000.00.
Menurut JKDM, minuman keras tersebut diangkut menggunakan jalan darat dengan kuantiti yang besar menggunakan kontena seperti barang biasa lain untuk mengelirukan pihak penguatkuasa dan dipercayai barangan seludup tersebut untuk bekalan pasaran musim perayaan Hari Gawai yang bakal tiba.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang mana jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.