PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua ketua jabatan, ketua pengarah dan ketua setiausaha meminitkan segala perbincangan membabitkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara.
Berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri dengan warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, Anwar berkata, LKAN itu perlu diteliti semula bagi memperbaiki tata kelola pentadbiran, selain dapat mengenal pasti dan membantu mengurangkan ketirisan dalam pentadbiran negara.
“Saya minta ketua-ketua jabatan teliti bukan sahaja yang disentuh mengenai jabatan, tetapi lihat seluruh usul cadangan untuk perbaiki tata kelola dan saya akan cadangkan kepada KSN supaya semua ini diminitkan.
“Pertamanya supaya dipastikan dapat dibincang kerangka besar isu laporan dan teguran Ketua Audit Negara, dan keduanya secara khusus yang menyentuh kedudukan di jabatan. Dengan cara sedemikian, tidaklah diulang masalah sama,” katanya.
Berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini beliau berkata langkah meminitkan perbincangan membabitkan LKAN berkenaan juga penting untuk kedudukan jabatan berkaitan bagi memastikan masalah yang digariskan tidak berulang.
“Kita sejak dulu sudah mengulas mengenai LKAN, ada masalah yang terus berlaku. Kalau baca laporan beberapa tahun lepas, jam yang patut RM400, dikenakan bayaran RM4,000. Ada buku sekolah tidak sampai kepada pelajar tetapi dibayar.
“Perkara seperti ini kadang-kadang ia berulang kerana pemantauan kita lemah dan saya katakan itu kerja tanpa nilai,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, penjawat awam boleh memberikan penekanan terhadap perkara asas mendalami ilmu dan menimba pengalaman di barat, namun jangan sampai hilang jati diri sebagai seorang Muslim dan anak Malaysia.
“Penjawat awam mewakili satu pola pemikiran dan pembentukan idea yang lebih tinggi dari sekadar menjalankan tugas-tugas biasa dalam jabatan,” katanya serta menambah bahawa kumpulan itu mempunyai satu tugas yang lebih berbanding profesion lain. – Bernama