ANTARA koleksi pesawat kawalan jauh yang dimiliki Razalie Hussaini.
Impian dan cita-cita sejak zaman remaja untuk memiliki pesawat kawalan jauh (RC) menjadi kenyataan. Razalie Hussaini mula menyimpan hasrat tersebut apabila terlihat beberapa pemuda yang bermain RC di belakang sekolahnya,sejak itu Razalie telah menyimpan niat untuk menceburi bidang tersebut.
“Pada zaman itu, saya tidak memiliki kemampuan untuk menceburi bidang tersebut. Setelah habis zaman persekolahan, saya mula bekerja demi memenuhi hasrat yang telah lahir sekian lama.
RC yang pertama dimiliki beliau adalah hasil titik peluhnya bekerja sambilan di pelbagai syarikat demi melunaskan impiannya .
“Pada masa itu, saya belum mengenali sesiapa dalam bidang ini dan tidak sedar akan wujudnya komuniti RC, jadi saya hanya membelinya dengan harga yang agak tinggi dan tidak berpatutan.
“Pertama kali saya berjumpa dengan komuniti yang betul adalah pada tahun 2011 di kedai hobi bernama Aerobase. Sejak itu, saya mula aktif kerana berjumpa dengan komuniti yang betul. Bila saya berjumpa dengan komuniti yang betul, barulah ada yang membimbing saya untuk memulakan kerjaya RC dengan langkah yang betul.
“ Komuniti ini banyak membantu saya dalam bidang RC ini. Mereka mengajar saya dari asas sehinggalah saya mahir. Mereka juga suka menjual barangan yang terpakai dengan harga yang murah bagi membantu saya melengkapkan set-set RC saya. Malah ada sebahagiannya saya dapat dengan percuma itulah kelebihannya apabila kita berkecimpung dengan komuniti yang betul.
Razalie sekarang mempunyai lebih kurang 21 kapal terbang RC dan pada ketika ini yang terbanyak di dalam komunitinya iaitu Petra Flyers RC Club yang ditubuhkan pada awal tahun ini dibawah Kementerian Belia dan Sukan.
“ Saya telah berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 10 tahun dan koleksi ini memakan dana lebih kurang 30 ke 40 ribu Ringgit. Tetapi ini adalah hobi bagi saya dan saya tidak menghitung setiap perbelanjaan yang saya laburkan.
Namun, menurut Razalie kepada sesiapa yang ingin mula berkecimpung dengan bidang ini, mereka tidak memerlukan bajet yang besar.
“Untuk permulaan, lebih kurang RM 500 sudah cukup untuk mula berjinak-jinak sebelum ke peringkat yang lebih tinggi. Saya juga ada membuat media sosial untuk memberi pendedahan kepada orang awam yang ingin mengetahui bidang ini dengan lebih lanjut. Bagi sesiapa yang baru dalam bidang ini bolehlah melawat profil TikTok saya Ustaz_RCPilot.
“Untuk permulaan, yang paling penting adalah mereka perlu kenak dengan komuniti ini, supaya mereka tidak membeli barangan ini dengan harga yang tinggi. Mereka boleh mendapatkan barangan yang mereka perlukan dengan harga yang jauh lebih murah dengan membeli barangan tersebut dengan ahli-ahli komuniti,” katanya.
Komuniti ini juga mampu menjadi pentas penyatuan kaum kerana komuniti ini dianggotai oleh pelbagai kaum,bangsa dan agama menurut Razalie.
“ Dalam komuniti ini, sekiranya berlakunya masalah teknikal seperti kapal terbang terhempas ataupun RC anda mempunyai masalah ketika bermain bersama, setiap ahli yang berada di lapangan akan membantu tidak kira apa bangsa, kaum dan agama. Komuniti ini adalah salah satu komuniti yang mempunyai keakraban yang paling kuat yang pernah saya saksikan. Saya beranggapan bahawa komuniti ini mampu menyatupadukan masyarakat di negeri yang berbilang kaum seperti di Sarawak.
Menurut Razalie, hobi ini juga merupakan hobi yang sihat kerana hobi ini hanya akan mengukuhkan talian silaturrahim di dalam komuniti tersebut, ahli-ahli hanya ingin membantu diantara satu sama yang lain , tiada permusuhan mahupun pergaduhan pernah berlaku di antara ahli komuniti. Persekitaran sebegini sangatlah sihat.
Razalie yang merupakan Juara tiga tahun berturut-turut pertandingan peragaan helikopter peringkat negeri berharap agar bidang ini akan mendapat perhatian pihak kerajaan agar bidang ini mampu berkembang dengan lebih pesat seperti di negara-negara maju.
” Saya berharap sekurang-kurangnya ada satu Pusat RC akan ditubuhkan untuk penggemar RC ini supaya kami mempunyai satu tempat khas untuk bermain dan berkumpul serta mengadakan pertandingan.
” Pusat RC ini hukan sahaja akan menguntungkan para penggemar RC malah kerajaan juga akan mendapat keuntungan dari segi perlancongan kerana RC ini mampu menarik minat pelancong dan oenggemar RC dari luar negara untuk datang ke Sarawak bagi menyaksikan penglibatan dan perkembangan RC di Sarawak.
Oleh SHAHRUL QAIZAT