MIDEA sumbang peralatan elektrik sokong Pavilion Gastronomi UCCN 2026

Facebook
WhatsApp
DATO Wee Hong Seng (tengah) bersama wakil MIDEA Malaysia; Ketua Perkhidmatan, Eric Lo (dua kanan) serta Ketua Pemasaran Karen Tan (dua kiri) pada majlis penyerahan peralatan elektrik hari ini.

KUCHING: MIDEA Malaysia menyumbang pelbagai peralatan elektrik bagi menyokong kelancaran penganjuran Pavilion Gastronomi Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) 2026 yang akan berlangsung di tapak Pesta Kuching dari 3 hingga 9 Ogos ini.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, peralatan yang disumbangkan itu akan memainkan peranan penting dalam menyediakan kemudahan yang diperlukan oleh cef untuk menghasilkan serta mempersembahkan hidangan autentik kepada pengunjung sepanjang penganjuran pavilion berkenaan.

Menurutnya, kemudahan tersebut akan membantu cef dari beberapa bandar kreatif gastronomi dunia menyediakan sajian yang mencerminkan keunikan cita rasa dan warisan kulinari bandar masing-masing.

“Peralatan elektrik yang disumbangkan oleh MIDEA akan memainkan peranan penting dalam menyokong cef yang mengambil bahagian dalam Pavilion Gastronomi UCCN.

“Ia akan membantu memastikan setiap cef mempunyai kemudahan yang diperlukan untuk menyediakan dan mempersembahkan cita rasa autentik bandar masing-masing kepada masyarakat Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan peralatan elektrik MIDEA bagi kegunaan Pavilion Gastronomi UCCN 2026 di sini, hari ini.

Wee berkata, kerjasama tersebut merupakan yang pertama antara Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan MIDEA Malaysia dan diharapkan dapat menjadi permulaan kepada hubungan strategik jangka panjang.

Beliau menambah, kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan sektor korporat dapat membuka peluang kepada pelaksanaan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada bandar raya serta masyarakat.

“Saya berharap ini menjadi permulaan kepada kerjasama jangka panjang antara MBKS dan MIDEA.

“Bersama-sama, kita dapat melaksanakan lebih banyak program bermakna yang memberi manfaat bukan sahaja kepada bandar raya, malah kepada masyarakat,” ujarnya.

Sumbangan daripada MIDEA Malaysia itu melibatkan keseluruhan 144 unit peralatan elektrik yang terdiri daripada enam unit penghawa dingin mudah alih, 20 unit peti sejuk beku jenis dada, 20 unit ketuhar gelombang mikro, 20 unit periuk tekanan elektrik, 20 unit dapur aruhan, 20 unit pengisar, 20 unit cerek elektrik serta 20 unit kipas elektrik.

Pavilion Gastronomi UCCN 2026 yang diadakan bersempena Mesyuarat Tahunan Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO bagi Bandar Kreatif Gastronomi akan menghimpunkan cef dari beberapa bandar luar negara.

Cef dari Chengdu dan Quanzhou di China, Buraidah dan Madinah di Arab Saudi, Iloilo di Filipina, Belo Horizonte di Brazil serta Lucknow di India akan mempersembahkan pelbagai hidangan autentik kepada pengunjung.

Penganjuran itu bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung mengenali keunikan cita rasa dan tradisi di sebalik minuman ikonik Sarawak, malah menjadi platform untuk menyokong pengeluar tempatan serta mempromosikan budaya masyarakat peribumi.

Oleh Adele Rissa