
KUCHING: Atlet Muay Thai muda Sarawak, Mia Ghazali atau nama sebenar Emylia Lynn Ghazali, meneruskan rentak cemerlang apabila meraih kemenangan pada kejohanan Muay Thai EFC di Singapura, sekali gus meningkatkan keyakinannya menjelang temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung bulan depan.
Atlet berusia 15 tahun dari Rentap Muay Thai Gym itu kini mengalihkan sepenuh tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukma dengan sasaran menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Sarawak.
Menurut kenyataan Rentap Muay Thai Gym, kemenangan di Singapura menjadi suntikan semangat kepada Mia untuk terus meningkatkan prestasi menjelang temasya sukan setiap dua tahun sekali itu.
Mia merupakan anak kepada Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Zulfikar Mohd Ghazali dan Jennana Lynn Johnson.
Beliau ialah anak ketiga daripada empat beradik dan berasal daripada keluarga yang aktif dalam sukan Muay Thai, termasuk abangnya, jaguh Muay Thai negara Johan ‘Jojo’ Ghazali, selain Muhammad Elias Ghazali dan Muhammad Mikael ‘Miki’ Ghazali yang turut berkecimpung dalam sukan sama.
Beliau akan meneruskan program latihan intensif di Rentap Muay Thai Gym bagi memperkukuh aspek teknikal, kecergasan fizikal dan persediaan mental sebelum beraksi mewakili Sarawak di pentas Sukma.
Dengan baki tempoh persiapan yang ada, Mia berharap dapat mempamerkan aksi terbaik sekali gus merealisasikan impiannya membawa pulang pingat emas buat Sarawak.
Kemenangan di kejohanan EFC itu dijangka menjadi pemangkin buat atlet muda berkenaan untuk menghadapi cabaran di pentas Sukma dengan lebih yakin.



