
KUALA LUMPUR: Mexico, satu daripada tiga negara tuan rumah Piala Dunia FIFA 2026, berharap kejohanan mega itu dapat menjadi pemangkin untuk mengukuhkan hubungan antara rakyat serta pelancongan dengan Malaysia, khususnya menerusi penglibatan yang lebih besar dalam kalangan peminat bola sepak.
Duta Besar Mexico ke Malaysia Luis Javier Campuzano mempelawa rakyat Malaysia melawat Mexico bagi menyaksikan perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 yang akan diadakan di tiga bandar Mexico iaitu Mexico City, Monterrey dan Guadalajara.
“Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk melancong ke Mexico. Ini merupakan peluang baik bagi rakyat Malaysia mempromosikan pelancongan, khususnya Tahun Melawat Malaysia 2026 dalam kalangan rakyat Mexico,” katanya selepas melancarkan Ekspo Fotografi Piala Dunia FIFA 2026 Mexico di kedutaan negara itu di sini, hari ini.
Campuzano berkata Mexico turut menyasarkan peningkatan ketibaan pelancong menerusi penganjuran Piala Dunia FIFA 2026.
Mexico berada di kedudukan keenam negara paling banyak dikunjungi di dunia pada 2025 dengan menerima 47.8 juta pelawat.
Sebagai sebahagian daripada sambutan Piala Dunia FIFA 2026, beliau berkata peminat bola sepak dari Malaysia berpeluang menyertai perlawanan persahabatan bersama peminat dari Mexico, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada di Stadium Merdeka pada 24 Jun.
Mengenai ekspo fotografi yang dilancarkan hari ini, Campuzano berkata peminat boleh mengunjungi kedutaan itu untuk melihat koleksi gambar penyertaan Mexico dalam Piala Dunia FIFA, termasuk ketika menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 1970 dan 1986.
Turut dipamerkan ialah gambar kejohanan bola sepak wanita 1971 yang diadakan di Mexico.
Piala Dunia FIFA 2026 dianjurkan bersama oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Perlawanan pembukaan yang dijadual berlangsung di Estadio Azteca, Mexico City pada 11 Jun akan menyaksikan Mexico menentang Afrika Selatan. – Bernama