
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) malam ini mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa negeri di Semenanjung serta kawasan di Sarawak dan Sabah hingga 1.00 pagi esok.
METMalaysia dalam kenyataan memaklumkan kawasan terlibat di Kedah ialah Padang Terap, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim serta Bandar Baharu selain seluruh Pulau Pinang dan Perak.
Turut terlibat Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan; Hulu Terengganu di Terengganu serta Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh dan Rompin di Pahang.
Di Selangor, amaran tertumpu di Sabak Bernam dan Hulu Selangor.
Kawasan yang terlibat di Sarawak ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Miri dan Limbang manakala di Sabah melibatkan Nabawan selain beberapa kawasan Pantai Barat termasuk Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud. – Bernama