BETONG: Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong telah menerima sambutan hangat daripada seramai 1,400 perwakilan ahli parti dari 14 cawangan Zon Betong.
Berlangsung di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, majlis bermula pada jam 8.30 pagi iaitu taklimat Belanjawan Sarawak 2025: “Bersama Membina Masa Depan yang Maju dan Makmur” oleh Pegawai Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Selepas itu, diadakan pembentangan usul oleh Naib Presiden PBB, Dato Sri Julaihi Narawi.
Sekitar jam 2.30 petang, majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sebelum itu Julaihi telah telah membentangkan sebanyak 14 usul di hadapan Abang Johari serta barisan Exco Tertinggi PBB dan seramai 1,400 perwakilan.
Empat belas cawangan PBB di kawasan zon Betong yang menghadiri acara penting ini melibatkan perwakilan dari Sebuyau; Lingga; Beting Maro; Balai Ringin; Bukit Begunan; Simanggang; Engkilili; Batang Ai; Saribas; Layar; Bukit Saban; Kalaka; Krian dan Kabong.
Mesyuarat Perwakilan Zon Betong itu adalah lokasi terakhir dari empat mesyuarat perwakilan cawangan PBB zon sebelum ini, selepas mesyuarat di Miri, Sibu dan Kuching.
Ia diadakan sebelum Konvensyen PBB yang akan diadakan dari 14 hingga 16 Februari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Kuching, nanti.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Naib Presiden Kanan PBB, Dato Sri Stephen Rundi Utom; Naib Presiden PBB, Dato Sri Julaihi Narawi; Pengerusi Tetap PBB, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Oleh ADI SAFARMAN