Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Messi kembali ‘pulang’ pimpin misi Argentina pertahan gelaran di Miami
  • SUKAN

Messi kembali ‘pulang’ pimpin misi Argentina pertahan gelaran di Miami

Utusan Sarawak 4 hours ago

Lionel Messi membuat keputusan tepat apabila menyertai Inter Miami CF pada penghujung kariernya. — Foto AFP

MIAMI: Tidak ramai yang menyangka tiga tahun selepas berhijrah ke Miami, Lionel Messi kini kembali ke bandar yang dianggap rumahnya untuk mengetuai misi Argentina mempertahankan kejuaraan Piala Dunia FIFA 2026 sambil terus memecahkan rekod.

Penyerang berusia 39 tahun itu kembali ke bandar di Florida bagi aksi pusingan 32 terbaik menentang kejutan kejohanan, pasukan Cape Verde 

pada 6 pagi Sabtu ini (waktu Malaysia)

selepas meledak enam gol sepanjang saingan peringkat kumpulan.

Jaringan itu menjadikan Messi penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah Piala Dunia dengan 19 gol, selain mencipta rekod menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan berturut-turut di kejohanan berkenaan.

Ramai beranggapan pemenang lapan kali anugerah Ballon d’Or itu menuju ke penghujung karier apabila meninggalkan bola sepak elit Eropah untuk menyertai Inter Miami CF dalam saingan Major League Soccer selepas akhirnya menjulang Piala Dunia di Qatar.

Namun Messi menepis segala jangkaan apabila terus memberi impak besar bukan sahaja kepada bola sepak di Amerika Syarikat, malah kekal menjadi watak penentu buat Argentina di pentas antarabangsa.

Inter Miami yang dimiliki bersama bekas bintang England, David Beckham, dan hanya ditubuhkan pada 2018, tidak pernah memenangi sebarang trofi sebelum ketibaan Messi.

Kehadirannya serta-merta menjadikan kelab itu destinasi pilihan bintang-bintang Eropah.

Dibantu bekas rakan sepasukan di FC Barcelona, Sergio Busquets dan Jordi Alba, Messi membawa Inter Miami muncul juara Piala Liga pada musim pertamanya.

Tahun lalu, Messi membantu kelab itu melakar sejarah dengan meraih kejuaraan MLS pertama mereka.

Kesan fenomena Messi

Pengaruh pemain yang dianggap antara terhebat sepanjang zaman itu jauh melangkaui padang.

“Messi mengubah sepenuhnya makna bola sepak di sini. Sejak 2023, semua orang mahu menjadi penyokong Inter,” kata jurulatih akademi Revo Soccer di Doral, berhampiran Miami, Juan Pugin.

“Kami juga melihat peningkatan ketara apabila semakin ramai kanak-kanak mendaftar untuk bermain bola sepak.”

Fenomena itu turut menggembirakan Lily Diaz, 69, anak kelahiran Buenos Aires yang kini menetap di Florida dan ditemui memakai topi pasukan kebangsaan Argentina.

Katanya, kehadiran Messi membuatkan dia berasa lebih dekat dengan tanah air yang ditinggalkannya lebih 40 tahun lalu.

“Ia satu kegembiraan besar apabila Messi bermain untuk Argentina. Kami sangat bangga dengannya. Dia bukan sahaja contoh sebagai atlet, malah sebagai insan,” katanya yang sudah empat kali menyaksikan Messi beraksi bersama Inter Miami.

Seorang lagi penyokong, Johnny Fortes, 62, sanggup datang dari Buenos Aires untuk mengikuti perjalanan Argentina sehingga ke final sekiranya mereka layak.

“Saya bekerja di pejabat, tetapi selama setahun setengah saya memandu kereta pada waktu malam bagi mengumpul wang untuk datang ke Amerika Syarikat.

“Saya banyak berkorban, tetapi semuanya berbaloi,” katanya.

Di restoran Buenos Aires Bakery, semangat menyokong Argentina turut menjadi peluang perniagaan apabila pelanggan dikenakan bayaran masuk AS$15 (RM64) serta perbelanjaan minimum AS$20 (RM85) untuk menonton perlawanan juara dunia itu.

Sementara itu, Julian Franco yang baru berpindah dari wilayah Catamarca ke bandar Buffalo tiga bulan lalu turut berada di restoran berkenaan bagi menikmati suasana walaupun tidak memiliki tiket perlawanan.

“Melihat Messi bermain memang mengujakan.

“Lebih-lebih lagi apabila kita tahu dia juga pernah melalui kegagalan. Ia memberi harapan bahawa tiada apa yang mustahil dan kita sentiasa perlu berusaha lebih keras untuk mencapai apa yang diinginkan,” katanya. – AFP

Lionel Messi membuat keputusan tepat apabila menyertai Inter Miami CF pada penghujung kariernya. — Foto AFP

Continue Reading

Previous: Amerika Syarikat mara 16 terbaik selepas tewaskan Bosnia dalam aksi penuh drama
Next: Pochettino dakwa Balogun tidak wajar dilayangkan kad merah, bakal terlepas aksi bertemu Belgium

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.