
ATLANTA: Lionel Messi mengakui air mata yang mengalir selepas kemenangan dramatik Argentina 3-2 ke atas Mesir untuk mara ke suku akhir Piala Dunia merupakan suatu luahan kelegaan, berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya di pentas antarabangsa.
Pemain berusia 39 tahun itu tidak dapat menahan sebak sejurus tamat aksi pusingan 16 terbaik di Atlanta yang menyaksikan juara bertahan itu hampir tersingkir secara mengejut.
“Saya fikir ia merupakan suatu luahan perasaan dan kelegaan buat kami semua. Kami melalui saat yang amat sukar ketika ketinggalan 2-0,” katanya kepada pemberita.
Kapten Argentina itu terlebih dahulu gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama ketika Mesir mendahului 2-0.

Namun demikian, Messi kemudian mengetuai kebangkitan pasukannya.
Hantarannya membuka ruang kepada Cristian Romero untuk merapatkan jurang 11 minit sebelum tamat perlawanan, sebelum pemenang lapan kali anugerah Ballon d’Or itu menyempurnakan jaringan penyamaan.
Enzo Fernández kemudiannya melengkapkan kebangkitan dramatik Argentina menerusi gol pada masa kecederaan, sekali gus mengesahkan tempat pasukan itu ke suku akhir untuk berdepan Colombia atau Switzerland.
“Mengubah kedudukan daripada ketinggalan 2-0 bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dalam saingan Piala Dunia ini apabila setiap pasukan memberikan tentangan yang sengit.
“Pada ketika itu, kami hanya mahu terus kekal dalam kejohanan ini. Kami tidak mahu perjalanan kami berakhir hari ini dan kami tidak mahu pulang,” katanya.

Messi diraikan rakan sepasukan dengan diangkat ke udara selepas menjaringkan gol ke-21 dalam sejarah penampilannya di Piala Dunia, selain gol kelapan pada edisi kali ini untuk kembali mendahului senarai penjaring terbanyak dan perebutan Kasut Emas.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan jaringan Romero sebagai detik yang mengubah corak permainan serta membangkitkan keyakinan seluruh pasukan.
“Hari ini sekali lagi membuktikan ketabahan pasukan ini. Bangkit daripada ketinggalan bukanlah sesuatu yang mudah dan keadaan itu benar-benar memberi tamparan kepada kami semua.
“Syukur kami berjaya memperoleh gol pertama. Pada saat itulah semua pemain mula yakin bahawa kami masih mampu mengubah keputusan perlawanan.
“Kami bernasib baik kerana berjaya menyamakan kedudukan sebelum memastikan kemenangan dalam tempoh 90 minit. Apa yang dicapai oleh pasukan ini benar-benar luar biasa,” katanya. – AFP