Messi bawa Argentina bangkit benamkan England, mara ke final Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PENYERANG Argentina, Lautaro Martinez meraikan jaringan kedua pasukannya bersama rakan sepasukan ketika aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 antara England dan Argentina. Foto AFP

ATLANTA, Amerika Syarikat: Lautaro Martinez menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92 ketika Lionel Messi mengilhamkan kebangkitan luar biasa Argentina untuk menewaskan England 2-1 sebentar tadi, sekali gus melangkah ke final Piala Dunia menentang juara Eropah, Sepanyol.

England hampir melakar sejarah mara ke final Piala Dunia pertama sejak 1966 apabila Anthony Gordon meletakkan mereka di hadapan 10 minit selepas babak kedua bermula dalam aksi separuh akhir di hadapan 68,239 penyokong di Atlanta.

Namun, persaingan sengit antara kedua-dua negara sekali lagi mencipta detik dramatik apabila Argentina bangkit menerusi dua gol lewat permainan untuk memadam impian England.

Messi mencipta peluang buat Enzo Fernandez menyamakan kedudukan pada minit ke-85 sebelum hantaran lintangnya disempurnakan Lautaro Martinez menerusi tandukan pada minit kedua masa kecederaan untuk gol kemenangan.

Walaupun tidak sehebat persembahan legenda Diego Maradona ketika menentang England pada 1986, jaringan tersebut membawa Argentina kembali daripada situasi sukar dan menghidupkan peluang mereka untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia.

Tiada pasukan berjaya mengekalkan trofi sejak Brazil pada 1962, namun kini Messi berpeluang menjadi pemain kedua selepas legenda Brazil, Cafu, yang beraksi dalam tiga final Piala Dunia.

Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey pada 3.00 pagi Isnin (waktu Malaysia), menyaksikan juara bertahan Amerika Selatan berdepan juara Eropah dalam edisi pertama Piala Dunia 48 pasukan.

Messi yang berusia 39 tahun hanya berpeluang menentang England buat kali pertama di pentas Piala Dunia, dan kini bakal berdepan Sepanyol dalam perlawanan kompetitif buat pertama kali.

Selepas membawa Argentina menjulang trofi pada 2022 di Qatar, karier Messi seakan lengkap, namun bintang itu masih belum selesai mencipta sejarah.

Bagi England, kekalahan itu meninggalkan kekecewaan besar apabila mereka terpaksa berdepan Perancis dalam aksi penentuan tempat ketiga di Miami pada 5.00 pagi Ahad.

Harapan untuk melangkah ke final Piala Dunia pertama sejak kejayaan tunggal mereka 60 tahun lalu musnah selepas mereka gagal mengekalkan kelebihan hasil jaringan Gordon.

Pemain utama England sepanjang kempen ini, Jude Bellingham dan kapten Harry Kane, gagal memberikan impak di pentas terbesar itu, menyebabkan pemain England terduduk kecewa selepas wisel penamat.

– Gol kemenangan Lautaro –

Rivaliti lama antara kedua-dua pasukan menjadikan aksi di Stadium Mercedes-Benz itu berlangsung dalam suasana tegang, dengan Argentina tampil bersemangat mempertahankan mahkota kejuaraan mereka.

Babak pertama menyaksikan perlawanan fizikal dengan beberapa kekasaran berlaku, termasuk Elliot Anderson yang dilayangkan kad kuning selepas mengasari Messi.

Tiada peluang jelas tercipta pada separuh masa pertama, namun England membuka tirai jaringan pada minit ke-55.

Harry Kane terlibat dalam gerakan serangan sebelum Morgan Rogers melakukan hantaran lintang rendah dari sebelah kanan yang disambar Gordon selepas melepasi kawalan Nahuel Molina.

Bagaimanapun, Argentina yang pernah bangkit daripada ketinggalan 0-2 ketika menewaskan Mesir pada pusingan 16, sekali lagi menunjukkan semangat juang mereka.

Mereka terus mengasak apabila Jordan Pickford menyelamatkan tandukan Nico Gonzalez sebelum percubaan Alexis Mac Allister terkena tiang pada minit ke-76.

Enzo Fernandez turut dinafikan Pickford menerusi percubaan jarak jauh, namun beberapa ketika kemudian pemain tengah itu menyamakan kedudukan selepas mengawal hantaran Messi di luar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan tepat.

Argentina terus memburu kemenangan apabila percubaan Mac Allister sekali lagi terkena tiang sebelum Lautaro Martinez muncul wira menerusi tandukan hasil hantaran cantik Messi, mencetuskan sambutan liar penyokong Argentina dan meninggalkan England kecewa. – AFP