Messi bakal diberi ‘perhatian khusus’ oleh Sepanyol, kata De la Fuente

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
JURULATIH Sepanyol, Luis de la Fuente. Foto AFP

NEW YORK: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente berkata pasukannya akan memberi ‘perhatian khusus’ kepada Lionel Messi pada final Piala Dunia 3.00 pagi Isnin ini (waktu Malaysia), namun menegaskan mereka tidak akan menggunakan taktikal kawalan individu terhadap kapten Argentina itu.

De la Fuente berkata pada sidang media Jumaat bahawa beliau mengetahui daripada pengalaman sendiri betapa sukarnya mengawal pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu menerusi kawalan seorang lawan seorang.

Jurulatih Sepanyol itu mengimbau pengalamannya ketika membimbing pasukan remaja Sevilla sewaktu Messi masih bermain di peringkat remaja bersama Barcelona, sambil menjelaskan bahawa hampir mustahil untuk mengekangnya sepanjang perlawanan.

“Saya pertama kali berdepan dengannya ketika melatih pasukan remaja Sevilla,” katanya.

“Kami bertandang ke Barcelona dan saya sudah mendengar banyak cerita mengenai seorang budak bernama Messi.

“Jadi kami menugaskan seorang pemain untuk mengawalnya secara individu, tetapi pada minit ke-70 saya terpaksa mengeluarkan pemain itu kerana sudah dilayangkan kad kuning. Ketika itu kedudukan masih 0-0, namun dalam tempoh 15 minit berikutnya, Messi menjaringkan empat gol ke atas kami.

“Jadi kali ini kami tidak akan menggunakan kawalan individu. Kami perlu sentiasa berwaspada dan sudah tentu memberi perhatian khusus kepadanya,” tambah De la Fuente.

Messi, 39, mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kempen Piala Dunia 2026 untuk membantu Argentina mara ke final, yang hampir pasti menjadi penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.

“Messi tiada tandingan,” kata De la Fuente.

“Beliau menjadi contoh kepada atlet muda daripada segi sikap dan tingkah laku, lebih-lebih lagi dengan aksi luar biasa yang dipamerkannya dalam Piala Dunia ini pada usia sebegini.”

Final Ahad ini juga menyaksikan pertembungan peribadi antara De la Fuente dan rakan sejawatnya dari Argentina, Lionel Scaloni, yang menjalinkan persahabatan sejak 2017 apabila De la Fuente menjadi tenaga pengajar ketika Scaloni mengikuti kursus lesen kejurulatihan profesional.

De la Fuente turut menolak sekeras-kerasnya tanggapan bahawa Argentina mungkin akan menggunakan helah atau taktik licik bagi mengganggu rentak permainan Sepanyol.

“Oh, tidak, tidak, tidak,” katanya.

“Saya tidak akan sesekali mengatakan perkara seperti itu. Saya amat mengagumi pasukan kebangsaan ini.

“Mereka telah memenangi Piala Dunia, dua Copa America, Finalissima… dan mereka dipimpin oleh seorang sahabat rapat saya. Saya hanya mempunyai rasa hormat dan kekaguman terhadap mereka.

“Saya percaya kedua-dua pasukan, Sepanyol dan Argentina, akan menampilkan corak permainan yang menjadikan bakat dan bola sepak berkualiti sebagai keutamaan.”

De la Fuente berkata pasukannya juga sudah bersedia menyesuaikan diri dengan tempoh rehat separuh masa yang lebih panjang pada final Ahad nanti.

Tempoh rehat itu dijangka hampir dua kali ganda daripada kebiasaan 15 minit bagi memberi ruang kepada persembahan hiburan yang dibarisi bintang terkenal.

Jurulatih Sepanyol itu percaya rehat separuh masa yang lebih panjang, selain waktu rehat untuk penghidratan yang diperkenalkan pada Piala Dunia kali ini, mungkin akan menjadi kebiasaan dalam bola sepak pada masa depan.

“Saya fikir semua perkara yang kita anggap pelik atau luar biasa hari ini, seperti rehat untuk penghidratan dan rehat separuh masa selama 30 minit, mungkin dalam tempoh 30 tahun akan datang akan menjadi perkara biasa,” katanya.

“Mungkin bola sepak sedang berkembang ke arah itu. Kita tidak tahu. Apa pun keadaannya, kita tidak boleh mengubahnya, jadi kita perlu menikmatinya.” — AFP