Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Mesir atasi Australia menerusi penentuan penalti, mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia
  • SUKAN

Mesir atasi Australia menerusi penentuan penalti, mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia

Utusan Sarawak 7 hours ago
PEMAIN Mesir meraikan kemenangan selepas menewaskan Australia pada perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 di Stadium Dallas, Arlington, pada 3 Julai 2026. Foto AFP

ARLINGTON, Amerika Syarikat: Hossam Abdelmaguid muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti kemenangan untuk membantu Mesir mencipta sejarah menewaskan Australia 4-2 menerusi penentuan penalti sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung penuh mendebarkan itu berakhir dengan keputusan seri 1-1 selepas 120 minit di Texas, dengan Mesir serta kaptennya yang kurang menyerlah, Mohamed Salah, mensia-siakan beberapa peluang terbaik.

PENYERANG Mesir, Mohamed Salah (kiri), melepaskan sepakan penalti yang berjaya menewaskan penjaga gol Australia, Mathew Ryan, ketika penentuan sepakan penalti pada perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 di Stadium Dallas, Arlington, pada 3 Julai 2026. Foto AFP

Mesir bakal berdepan juara bertahan, Argentina yang diketuai Lionel Messi, sekiranya gergasi Amerika Selatan itu mengelak daripada kejutan Cape Verde dalam aksi pusingan 32 terakhir.

Walau apa pun keputusannya nanti, skuad The Pharaohs tetap mempunyai alasan untuk meraikannya selepas berjaya mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.

Jurulatih Australia, Tony Popovic, membuat pertaruhan pada saat-saat akhir apabila memasukkan penjaga gol berpengalaman, Mathew Ryan, khusus bagi menghadapi penentuan penalti.

Namun begitu, pertahanan Australia, Harry Souttar, yang mengambil sepakan pertama pasukannya, gagal menyempurnakan tugasan apabila rembatannya melambung tinggi melepasi palang ketika berdepan sorakan penyokong Mesir.

PEMAIN Mesir berkumpul dalam satu bulatan sebelum penentuan sepakan penalti pada perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 antara Australia dan Mesir di Stadium Dallas, Arlington, pada 3 Julai 2026. Foto AFP

Lima penyepak berikutnya berjaya menyempurnakan sepakan masing-masing, termasuk Salah yang tenang menyudahkan tugasnya, sebelum pertahanan muda Australia berusia 18 tahun, Lucas Herrington, menyaksikan percubaannya terkena palang.

Abdelmaguid kemudian kekal tenang menyempurnakan sepakan terakhir untuk memastikan Mesir mara, sekali gus membuatkan Salah menitiskan air mata kegembiraan, manakala Australia pulang dengan kekecewaan.

Emam Ashour terlebih dahulu meletakkan Mesir di hadapan menerusi tandukan pada minit ke-13 di stadium berhawa dingin milik Dallas Cowboys.

PEMAIN Australia berkumpul dalam satu bulatan sebelum penentuan sepakan penalti pada perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 antara Australia dan Mesir di Stadium Dallas, Arlington, pada 3 Julai 2026. Foto AFP

Gol awal itu memaksa Australia, yang hanya menjaringkan dua gol sepanjang saingan peringkat kumpulan, tampil lebih agresif di hadapan hampir 70,000 penonton.

Walaupun Salah masih bergelut untuk kembali ke prestasi terbaik selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan terdahulu, Australia berjaya menyamakan kedudukan 10 minit selepas babak kedua bermula apabila Mohamed Hany tertanduk bola ke gawang sendiri.

Kedua-dua pasukan memburu kemenangan bersejarah kerana masing-masing belum pernah memenangi perlawanan kalah mati dalam saingan Piala Dunia lelaki, namun gagal memecahkan kebuntuan sehingga memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Tanpa sebarang pemisah selepas 120 minit, pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Salah Kurang Menyerlah

Australia hampir membuka jaringan seawal minit kelima apabila Cristian Volpato, yang memilih mewakili Australia berbanding Itali menjelang Piala Dunia, melakukan rembatan yang hanya menggegarkan palang gol.

PENYERANG Australia, Awer Mabil (kiri), bersaing merebut bola dengan pemain tengah Mesir, Emam Ashour, pada perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 antara Australia dan Mesir di Stadium Dallas, Arlington, pada 3 Julai 2026. Foto AFP

Mesir, yang mencatat kemenangan sulung di Piala Dunia menerusi kemenangan 3-1 ke atas New Zealand pada peringkat kumpulan, kelihatan sedikit gugup di benteng pertahanan.

Namun, di sebalik penguasaan Australia, skuad kendalian Hossam Hassan berjaya mendahului.

Penyerang Australia, Nestory Irankunda, gagal mengawal pergerakan Ashour yang menanduk masuk hantaran lintang Karim Hafez di tiang jauh untuk gol keduanya dalam kejohanan ini.

Australia hanya mencatat percubaan tepat pertama 10 minit sebelum waktu rehat menerusi pertahanan kiri, Aziz Behich, namun rembatannya mudah diselamatkan penjaga gol Mesir, Mostafa Shoubir.

Bapa Shoubir, Ahmed, pernah mengawal gawang Mesir pada Piala Dunia 1990.

Salah yang berusia 34 tahun dan baru pulih daripada kecederaan hamstring, gagal memberi impak besar sepanjang separuh masa pertama yang berlangsung sengit.

Babak pertama turut menyaksikan Jordan Bos, antara pemain terpantas kejohanan, terpaksa dikeluarkan selepas menerima terjahan keras daripada Rabia.

Bos dibantu keluar dari padang sebelum digantikan oleh Kai Trewin pada permulaan babak kedua, sekali gus menjejaskan perancangan Australia.

Beberapa saat selepas permainan bersambung, Mesir sepatutnya menggandakan kelebihan, namun penyerang Manchester City, Omar Marmoush, merembat tersasar dari jarak dekat.

Jurulatih Mesir sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap corak permainan fizikal Australia, dan kebimbangan itu terbukti apabila Hany tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran percuma Australia.

Gol itu merupakan jaringan sendiri kedua Hany dalam kejohanan ini.

Salah yang pernah menyinar bersama Liverpool terus tenggelam sepanjang perlawanan, namun terlibat dalam gerakan yang menyaksikan penjaga gol Australia, Patrick Beach, melakukan satu lagi aksi menyelamat cemerlang bagi menafikan percubaan Ramy pada masa kecederaan, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Mesir tampil lebih dominan menjelang tamat masa sebenar, namun Salah melepaskan peluang terbaik pada awal masa tambahan apabila rembatannya menggunakan kaki kanan tersasar tinggi.

Bagaimanapun, penyerang berpengalaman itu tidak melakukan kesilapan dalam penentuan penalti apabila berjaya menyempurnakan sepakannya sebelum Mesir mengesahkan kemenangan bersejarah.

– AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Bayern ‘ikat’ pertahanan Jerman Brown hingga 2031
Next: Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Kanada

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.