Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Merobek Naratif Popular
  • WBS

Merobek Naratif Popular

Utusan Sarawak 4 weeks ago

‘‘Fiksyen membawa maksud mencerahkan, meledak dan menyegarkan semula’’ – John Cheever.

SENI tidak pernah berjalan lurus, tidak sebagaimana teori sastera yang kaku. Sastera boleh membina habitatnya di mana-mana. Tidak semestinya terhenti pada teks. Dan sebagai sifatnya yang luwes, keseragaman kerja seni hanya akan membantut keluasan makna sesebuah karya.

Tiada yang salah dan pelik dalam karya sastera. Apa yang dahulunya terlihat indah dan mempesonakan, sudah terlihat basi malahan membosankan untuk audiens masa kini. Apa yang menyebabkan karya sastera itu lemah dan mendatar adalah kerana ia tidak dikerjakan daripada kejujuran hati dalam urusan penciptaan.

Tambah memalukan jika AI digunakan untuk kerja penulisan. Seni perlu dihidupkan dan digoncang agar terasa lebih bertenaga untuk dihubungkan dengan rentak kehidupan mutakhir.

Membaca naskhah “Tenunan Takdir”karya Dayangku Nabilamengingatkan pembaca tentang naratif popular tentang legenda puteri Santubong dan Sejinjang. Majoriti sudah arif tentang perseteruan dan punca pertelingkahan yang berlaku antara dua jelitawan dari kayangan itu.

Mengapakah strukturnya berbeza? Benar, ia sebuah dekonstruksi, pembinaan semula daripada sebuah cerita rakyat yang cukup dikenali oleh masyarakat di Sarawak. Bergaduh kerana merebut seorang lelaki ialah krisis utama yang mengakibatkan dua orang puteri kayangan itu dihancurkan hidupnya.

Bagaimanakah dengan isu-isu baharu yang diketengahkan pengarang? Adakah ia merosakkan tekstur cerita rakyat itu? Di sinilah letaknya kebijaksanaan pengarang ditagih untuk memperbaharui teks klasik kepada fenomena terkini.

Naskhah “Tenunan Takdir”, sebuah karya yang ringkas, mudah dan sederhana. Cerita, plot dan para pendukung wataknya masih sama, namun diberikan nilai tambahan baharu seiring dengan senario zaman yang semakin kompleks.

Saiz cerita diluaskan dan persoalan-persoalan semakin dipadatkan. Ia sebuah kreativiti dan pengarang memanfaatkannya dengan tujuan-tujuan tertentu. Mesejnya malahan dikembangkan ke masyarakat luas. Itu suatu pilihan yang bernas.

Hubungan antara teks dengan teks (intertekstualiti) yang lain lalu diperbaharui, membuktikan bahawa tiada yang namanya asli dan tunggal dalam karya sastera.

Pengarang silam menyediakan naskhah, kemudian pengarang-pengarang terkemudian melanggar dan meruntuhkan struktur namun memperbaharui teks untuk mencapai makna-makna lain yang tidak terfikir oleh pengarang asal. Ia hal biasa dalam kesusasteraan.

Menurut Mana Sikana, beliau menyatakan memang ada pengarang menghasilkan karya yang pernah dihasilkan orang tetapi menurut tanggapan dan teknik diciptanya sendiri.

Lebih-lebih lagi, jika bahan atau sumbernya itu dirasakan milik bersama atau tidak ada seorang pun yang dapat mengatakan bahawa ia milik mutlaknya, seperti berlaku terhadap cerita rakyat.

Apabila sastera rakyat dikatakan milik bersama, maka intertekstualiti beranggapan bahawa bahan-bahan yang telah ada sebelumnya boleh dijadikan tema atau subjek sesebuah penulisan.

Intertekstualiti menegaskan bahawa pengarang bebas mengolah semua bahan sastera rakyat itu menurut sikap, aspirasi dan tujuan pengarangnya. Terpulanglah bagaimana seseorang pengarang membina sebuah naskhah baharu di atas tapak cerita yang sebelumnya wujud. Jangan sekadar menumpang.

Jaques Derrida sering menjadi rujukan utama apabila berbicara tentang dekonstruksi dalam karya sastera. Tetapi teori dekonstruksi amat rumit dan berlapisan epistemik falsafahnya untuk dibicarakan di sini.

Secara ringkasnya, dalam konteks penulisan karya sastera, pengarang dengan sengaja mengulang penceritaan mitos itu. Adakah dihancurkan sama sekali hingga hilang jati diri naskhah? Tidak sepenuhnya.

Pengarang, masih sedar, mengubahnya semula dengan membawa elemen-elemen berkaitan yang sejajar dengan nada asal naratif terdahulu. Karya yang menjurus kepada kehidupan pascamoden sewajarnya lebih menakutkan dan semakin lama mengelirukan.

Terutama dalam aspek-aspek menyangkut situasi masyarakat. Sejarah kronologi cerita yang sebelumnya sudah boleh dihafal, klasik dan terhad lingkungannya, akan diberikan kejutan dan sentuhan sofistikated.

Dari buku Teori Sastera Kontemporari, tulisan Mana Sikana, Edisi 3, Penerbit Pustaka Karya, 2008, pada Bab Teori Dekonstruksi; dekonstruksi didefinisikan sebagai:

“… membongkar dan menggali makna yang tersembunyi di dalam teks dengan membinasakan sistem struktur, caranya dengan membongkar sistem-sistem perlawanan yang terlapis di dalamnya. Bagaimanapun, makna  bukannya tujuan terakhir analisis sebaliknya tujuan utama ialah menumbangkan hierarki konseptual yang menstrukturkan sesebuah teks. Ia cuba mencari kekuatan yang tersembunyi yang tidak mungkin digali dari kaedah lama.”

Naratif “Tenunan Takdir” sememangnya tidak patuh kepada teks asal. Kreativiti untuk memecah dan mengubah naratif sebuah karya bukan hal baharu dalam kerja kesenian.

Daripada teks cerita rakyat, legenda tersohor, filem dan pelbagai lagi bentuk dan genre seni. Terbuka untuk dikembangkan dengan variasi tafsiran dan motif. Apatah lagi jika dilakukan oleh karyawan generasi baharu yang hidup pada zaman serba tidak menentu dan canggih pemikirannya.

Usaha untuk menyuntik tafsiran yang bernuansa kontemporari selalunya menimbulkan kesan menarik dan mencabar.

Natijah daripada perseteruan dan kesudahan yang tragis antara dua orang puteri kayangan itu dijana semula dengan memadankan hal-hal yang berlaku dalam situasi semasa.

Dan, pendekatan yang dipilih Dayangku Nabila, terlihat menarik. Tetapi dari segi penceritaan, ia masih di peringkat sederhana.

Secara resepsi atau respons daripada naskhah yang ditampilkan pada kali ini, pengarang menghubungkan insiden pada masa lalu dan kini, tiada bezanya. Kana, yang menjadi protagonis berkelana dari sebuah tempat ke tempat, menemui beberapa orang individu dan dari situlah, horizon dunianya terangkat tinggi. Kemahiran Kana menenun kain mendapat perhatian daripada Santubong.

Namun, bukan itu yang menjadi tarikan utama naskhah ini. Ada sesuatu yang Kana belum kenali, iaitu keadaan manusia di luar sana, yang lebih mencabar berbanding menenun kain.

Dunia Kana kecil dan hanya tertumpu pada aktiviti tenunannya. Sudah menjadi rutin harian, Kana mengasah bakat dan minatnya dalam kerja tangan sehingga kemahiran tenunan berjaya menambat perhatian Santubong.

Benang yang baik ialah benang yang disulam dengan sabar bukan tergesa. Seperti hati manusia juga. Kalau diikat dengan nafsu, pasti putus di tengah jalan. Harus berhemah tinggi dan berhati-hati dalam perbuatan.

Demikian Santubong melontarkan kata-kata bermakna kepada Kana tentang hakikat dan sahsiah peribadi seseorang. Mungkin, pada waktu itu, Kana belum mampu menangkap maksud yang diperkatakan Santubong.

Kematangan seseorang manusia seiring dengan pelbagai bentuk pengalaman yang ditempuhi. Kelak, Kana bakal menemui peristiwa-peristiwa sebagai membuktikan kebenaran yang dikiaskan Santubong.

Rambut memang hitam, tetapi apa yang terkandung dalam hati, sukar untuk diteka. Individu yang dianggap bergelar dalam masyarakat bukan jaminan bahawa adabnya juga tinggi.

Kepandaian Kana menenun sudah pun mendapat pengakuan daripada Santubong. Namun, kerja seni sedemikian belum memadai buat Kana dalam menjalani selok-belok kehidupan. Kana sekadar berada dalam sebuah ruangan yang terbatas.

Pergilah keluar, tinggalkan zon selesa dan kenalilah dunia yang luas ini. Di sana nanti, barulah seseorang itu memahami erti kehidupan sesungguhnya.

Maka, berbekal kain dan kemahiran dalam kerja kesenian itu, Kana pun berangkat meninggalkan keselesaannya sebelum ini. ‘‘Life is never flat.’’ Kana baru sahaja melangkahi halaman pertama dalam riwayat kehidupannya.

Damai, tenang dan tiada konflik. Pada halaman-halaman seterusnya, hidup tidak lagi serupa dan sememangnya kehidupan penuh dengan aneka ragam tidak terjangka.

Kehidupan di luar sana, tidak serupa dengan apa-apa yang terpapar manis di skrin televisyen. Itulah pengajaran buat manusia untuk mengenali helah, kerenah dan sandiwara dunia.

Betapa manusia sejak dahulu, tetaplah, manusia dengan segala kerenahnya. Topeng di balik wajah sebenar akan digunakan untuk tujuan-tujuan peribadi. Ada yang cantik paras rupanya, namun negatif pula sikap berhadapan dengan manusia lain.

Bahkan ada yang sengaja menampakkan diri dalam keadaan serba kekurangan untuk meraih simpati. Tetapi, apabila umpan tersangkut, dalam masa yang sama, rupanya dialah serigala yang menyamar.

Apakah yang hendak dihairankan? Inilah realiti dalam kehidupan bersama-sama manusia, sama ada di kampung atau di tengah bandar raya metropolitan. Dalam keadaan mendesak, manusia sanggup melakukan apa-apa sahaja yang tidak beretika demi meneruskan kehidupan.

Budi Darma menulis dalam buku Solilokui, karya  sastera pada umumnya tidak berpura-pura untuk membuktikan sesuatu. Tema, perwatakan, alur cerita, gaya bahasa dan lain-lain bercampur menjadi suatu kebulatan.

Karya sastera yang baik juga tidak menggurui dan tidak mengemukakan rumusan-rumusan tertentu. Dari mana alur cerita dimulai, terserah keperluan pengarang, tanpa menyemak terdahulu kaedah dan teori penulisan.

Itulah yang dimaksudkan dengan keaslian, kebebasan imaginasi, keberanian mencabar naratif umum dan tampil dengan pemikiran tersendiri tanpa perlu khuatir dengan penerimaan audiens.

Proses ini panjang, kerana, sebagaimana Kana, semakin jauh berkelana dari satu ke satu tempat, maka, bertambah mengertilah dia bahawa anehnya perangai manusia.

Di dunia yang luas dengan seribu jenis tingkah laku manusia, sukarlah untuk menilai hanya bersandarkan pada penampilan luaran. Itulah yang Kana pelajari. Fabrik sosial yang dilalui ternyata lebih rumit jalinannya.

Ada yang hitam di luar, tetapi berkarat di belakangnya. Ada yang tulus tidak berharap apa-apa ganjaran. Demikian, tidak semua perasaan harus dizahirkan di permukaan.

Warna-warni sifat dan perangai manusia menjadikan hidup kaya dengan cerita. Buruk dan baik seseorang manusia belum tentu terpampang pada wajah bersihnya. Sungguh berselang-seli antara yang baik dalam diri seseorang.

Seumpama seutas benang yang dijalin membentuk hamparan kain yang bercorak dengan motif lebih daripada satu warna.

Naskhah “Tenunan Takdir” digarap dengan pesanan falsafah. Jelas, bukan cerita yang menjadi tiang utama naratif itu. Ia dapat dikesan melalui cebisan-cebisan peristiwa yang dipaparkan.

Sudah tentu ada kesan campur tangan daripada narator berhubung insiden-insiden yang dilalui. Setiap kejadian memunculkan beberapa pengajaran. Kejujuran, pengkhianatan dan perkasihan selalunya sukar dinilai pada penampilan luaran.

Malahan berbuat baik pun ada hadnya, agar diri tidak dieksploitasi. Dari sebuah kejadian ke sebuah kejadian berikutnya, Kana mula mengerti, hidup tidak semestinya tertumpu kepada diri sendiri sahaja.

Pakaian yang membaluti setiap tubuh manusia, hanyalah menutup sebahagian aurat mereka. Dunia bukan hitam putih. Namun, akal, fikiran, perangai dan mentaliti seseorang, tidak mampu diselindung sebalik pakaian yang disarung.

Pengarang menggunakan cerita rakyat yang sudah pun seminal dalam kehidupan masyarakat di Sarawak untuk dijadikan pelantar dalam menyampaikan mesej-mesejnya. Cerita asalnya sudah wujud, apa yang perlu dilakukan pengarang ialah memberi nilai tambahan buat mengukuhkan naskhah baharu agar terasa kelainannya.

Tolak tepi intertekstualiti. Tiada siapa yang mampu mengenali siapakah pemilik naratif klasik yang menjadi landasan naskhah “Tenunan Takdir”. Tetapi sebagai pengarang, Dayangku Nabila telah menghasilkan naskhah baharunya.

Lalu, diciptalah senario semasa tentang karakter dan perangai manusia dalam masyarakat. Lesen untuk berkreativiti diberikan sepenuhnya.

 Jika dalam naskhah asal Santubong dan Sejinjang dikenali kerana berebut kekasih, lalu bermusuh hingga membawa kemusnahan diri, “Tenunan Takdir” seakan-akan membuat suatu kesimpulan tentang erti kehidupan. Zaman berubah, manusia masih juga manusia.

Kesimpulan, naratif “Tenunan Takdir” ingin menampilkan sisi tersembunyi tentang karakter manusia. Ia bukan ditulis dengan niat mengajar audiens.

Secara berlapik, pengarang naskhah mendedahkan ada tompokan hitam dalam hati manusia dan ia tertutup pada tenunan kain pada sebatang tubuh.

Benang yang berwarna-warni dianyam dan membentuk pada sebidang kain. Lalu apa bezanya tukang tenun kain dengan pengarang yang menulis cerita?

Di situlah karya sastera menyerlahkan lapisan demi lapisan tentang sastera dan makna kehidupan.

Pengarang tidak ubah seperti penenun kain. Apa yang terpapar dalam naskhah penulisan, disusun, dipilih dan dibentuk menjadi sebuah hasil pengalaman dalam karya seni buat renungan bersama-sama. Bayangkan jika tenunan hanya sama corak dan warna.

Pengarang berkata secara tidak langsung tentang tujuan penulisan naskhah, ‘‘Kain ini bukan untuk dikagumi, tetapi untuk difahami.’’ Itulah simboliknya yang ingin dimengerti.

Kemahiran menenun kain Kana memang diakui halus, kemas dan terpuji. Namun sudah tiba masa Kana keluar daripada limpahan lampu sanjungan, melangkah ke penghidupan menemui suasana berbeza tentang perangai manusia. Di situlah landskap kehidupan terjalin aneka corak dan warnanya.

Oleh Roslan Jomel

Continue Reading

Previous: Sajak
Next: Mencari Pemahaman Tentang Naratif Sajak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.