Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Merino muncul wira, Sepanyol singkir Belgium dan tempah aksi separuh akhir bertemu Perancis
  • SUKAN

Merino muncul wira, Sepanyol singkir Belgium dan tempah aksi separuh akhir bertemu Perancis

Utusan Sarawak 2 hours ago
PEMAIN tengah Sepanyol, Mikel Merino (#06) (tengah), meraikan jaringan kedua pasukannya bersama rakan sepasukan ketika aksi suku akhir Piala Dunia 2026 menentang Belgium di Stadium Los Angeles, Inglewood. Foto AFP

LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Mikel Merino muncul wira dari bangku simpanan apabila menjaringkan gol kemenangan lewat permainan untuk membawa Sepanyol menewaskan Belgium 2-1 sekali gus mara ke separuh akhir Piala Dunia dan bakal menentang Perancis.

Jaringan dramatik di Stadium SoFi itu mengatur pertembungan hangat antara juara Eropah, Sepanyol, dengan pilihan utama kejohanan, Perancis, yang dibarisi penyerang sensasi Kylian Mbappe di Dallas pada 3.00 pagi Rabu (waktu Malaysia).

Namun, ia menjadi detik mengecewakan buat penjaga gol simpanan Belgium, Senne Lammens, yang dimasukkan pada penghujung permainan apabila gagal menangkap kemas satu rembatan sebelum bola disambar Merino.

Gol dramatik itu hadir selepas Fabian Ruiz meletakkan Sepanyol di depan, sebelum Charles De Ketelaere menyamakan kedudukan buat Belgium menjelang tamat babak pertama meskipun pasukannya banyak diasak.

Belgium yang kembali diperkuat Kevin De Bruyne dan Jeremy Doku dalam kesebelasan utama menerima tamparan apabila kapten, Youri Tielemans, mengalami kecederaan hamstring ketika sesi pemanas badan.

Selepas kehilangan Amadou Onana akibat kecederaan ligamen lutut (ACL), Belgium terpaksa menurunkan barisan tengah yang hampir keseluruhannya terdiri daripada pemain pilihan kedua untuk berdepan penguasaan bola Sepanyol.

Ruiz, yang menggantikan Pedri, pantas membentuk gandingan mantap bersama Rodri di bahagian tengah, manakala bintang muda Barcelona, Lamine Yamal, hampir membuka tirai jaringan menerusi rembatan lencong yang sedikit tersasar.

Belgium bagaimanapun tetap mengancam menerusi Doku di bahagian sayap kiri yang beberapa kali mencipta peluang untuk De Ketelaere.

Sepanyol akhirnya mendahului pada minit ke-30 apabila Pedro Porro melakukan gerakan satu-dua bersama Yamal sebelum menghantar bola kepada Dani Olmo.

Percubaan Olmo ditepis Thibaut Courtois, namun Ruiz pantas menyambar bola muntah untuk menjadikan kedudukan 1-0.Selepas itu Sepanyol menguasai permainan sepenuhnya dengan hantaran kemas di kawasan Belgium, disaksikan barisan selebriti termasuk Brad Pitt, Penelope Cruz dan Noel Gallagher.

Namun Belgium, yang sebelum ini bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menyingkirkan Senegal pada pusingan 32 terbaik, tidak mudah mengalah.

Pada minit ke-41, De Bruyne menghantar bola kepada Timothy Castagne sebelum hantaran lintangnya disudahkan De Ketelaere menerusi tandukan kemas menewaskan Pau Cubarsi.

Ia merupakan gol pertama yang dibolosi Sepanyol sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.

Belgium hampir menambah jaringan sebelum rehat, namun Dani Olmo berjaya memintas hantaran terakhir kepada Doku yang berada dalam kedudukan terbaik.

Selepas babak kedua bermula, Yamal semakin menyerlah dan hampir mencipta bantuan gol kepada Mikel Oyarzabal, namun Courtois bertindak cemerlang menyelamatkan keadaan.

Jurulatih Belgium, Rudi Garcia, kemudian memasukkan Romelu Lukaku yang sebelum ini menjaringkan gol sebagai pemain gantian dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Permainan semakin terbuka dengan kedua-dua pasukan saling mengasak. Sepanyol terselamat daripada sepakan penalti apabila bola terkena tangan Rodri tetapi dianggap tidak disengajakan.

Malang buat Belgium apabila Courtois terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-70 dan digantikan Lammens, penjaga gol Manchester United berusia 24 tahun yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia.

Namun, penampilan itu bertukar menjadi mimpi ngeri.

Pada minit ke-88, Lammens gagal menangkap kemas rembatan rendah Pau Cubarsi dari luar kotak penalti sebelum Merino pantas menyambar bola muntah untuk meledak gol kemenangan.

Ia merupakan gol kemenangan lewat permainan kedua berturut-turut buat pemain tengah Arsenal itu selepas turut menjaringkan gol penentu ketika menentang Portugal pada masa kecederaan Selasa lalu.

Belgium hampir menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan, namun Alexis Saelemaekers gagal mencari Lukaku yang tidak dikawal di hadapan gawang.

Sebaik wisel penamat dibunyikan, Courtois yang cedera turun memeluk Lammens yang menangis, manakala beberapa pemain daripada generasi emas Belgium hanya mampu berdiri kaku dan kecewa.

Sebaliknya, pemain Sepanyol meraikan kemenangan penuh emosi sebelum mengalihkan tumpuan kepada aksi separuh akhir yang dinanti-nantikan menentang Perancis. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Mampukah Messi terus jadi sandaran Argentina di Piala Dunia?
Next: Ronaldo masih ada masa depan bersama Portugal jika dia mahu, kata jurulatih baharu Jesus

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.