PELBAGAI pembangunan terkini telah dan sedang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berkata, antara pembangunan untuk rakyat yang sedang dilaksanakan di daerah Meradong ialah pembinaan Stadium Bola Keranjang Bintangor.
“Pembinaan stadium ini giat dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa kelulusan daripada projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Projek pembinaan stadium bagi fasa pertama ini menelan kos sebanyak RM1 juta di bawah peruntukan RTP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjalankan lawatan ke tapak projek pembinaan Stadium Bola Keranjang Bintangor.
Tambahnya, fasa kedua projek pembinaan Stadium Bola Keranjang Bintangor sebanyak RM1 juta juga akan diteruskan sebaik peruntukan RTP diluluskan.
Dalam pada itu, katanya, antara pembangunan terkini yang sedang dilaksanakan di daerah Meradong ialah reka bentuk penyelesaian ujian pembinaan dan pengoperasian pakej CR1 (Wilayah Tengah) yang dicadangkan untuk program grid bekalan air Sarawak – Kawasan Tekanan Rendah Di Daerah Meradong Bernilai RM81 juta.
“Selain itu, antara pembangunan di daerah Meradong yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan Dewan Sebarguna baharu, bangunan pra sekolah dan bilik kelas sekolah serta bina baharu gereja melalui
peruntukan RTP Kerajaan Sarawak.
“Saya amat berterima kasih diatas keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan barisan kepimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa mengambil berat pembangunan di daerah Meradong.
“Pelbagai pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan di daerah Meradong ini membuktikan Kerajaan GPS sangat prihatin dengan rakyat di sini,” ujarnya.
Tambahnya, pelbagai lagi rancangan pembangunan akan dilaksanakan di daerah Meradong pada masa akan datang.
“Antara perancangan pembangunan pada masa akan datang di daerah Meradong ialah pembinaan kolam renang Bintangor dan pembinaan Waterfront Bintangor.
“Kita juga telah merancang untuk naik taraf prasarana sukan di Kompleks Sukan Bintangor.
“Sebanyak 1,000 tiang lampu jalan di kawasan daerah Meradong serta menaik taraf perkhidmatan internet di kawasan Meradong khas untuk luar bandar turut dirancang dan akan dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya lagi.
Oleh EARL ANEK