- RM63 bilion pacu strategi PCDS 2030
STRATEGI Pembangunan 2030 Pasca Covid-19 (PCDS 2030) yang dilancarkan Julai 2021 adalah inklusif bagi merintis jalan ke arah menjadikan Sarawak negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Ia juga disertakan aspirasi masyarakat maju yang didorong oleh data dan inovasi untuk menikmati kemakmuran ekonomi, inklusif sosial dan persekitaran mampan.
Itu strategi dipacu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan harapan Sarawak boleh menggandakan pertumbuhan ekonomi daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 bilion pada 2030.
“Untuk mencapai sasaran ini, ekonomi Sarawak perlu berkembang pada kadar enam hingga lapan peratus setahun.
“Sarawak menyasarkan ekonomi yang berkembang pada kadar enam peratus kepada lapan peratus setahun di bawah fasa pertama PCDS yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) iaitu dari 2021 hingga 2025,” katanya sewaktu pelancaran PCDS 2030.
Untuk itu juga, kerajaan Sarawak memberikan anggaran RM63 bilion untuk melaksanakan PCDS 2030 di bawah RMK-12, dengan RM30 bilion untuk perbelanjaan pembangunan langsung dan RM33 bilion daripada dana alternatif.
PCDS 2030 MERANGKUMI MASYARAKAT INKLUSIF
Melalui pemodelan kewangan kreatif dan rekayasa semula pendapatan ini, Sarawak akan terus menikmati kedudukan fiskal yang sihat.
Abang Johari berkata selain itu, PCDS 2030 juga merangkumi masyarakat inklusif, bermaksud semua rakyat Sarawak akan mempunyai peluang yang sama untuk terlibat dalam pembangunan keseluruhan negeri dan menikmati pengagihan kekayaan secara adil melalui peluang pekerjaan dan perniagaan.
Di bawah PCDS 2030, terdapat enam sektor ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan iaitu Pembuatan, Pertanian Komersial, Pelancongan, Perhutanan, Perlombongan dan Perkhidmatan Sosial.
Enam sektor berkenaan akan disokong tujuh pemboleh ubah iaitu Transformasi Digital, Inovasi, Infrastruktur Asas, Pengangkutan, Utiliti, Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pendidikan serta Pembangunan Modal Insan.
Pembangunan enam sektor ekonomi yang disokong oleh tujuh pemboleh ubah ini akan meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelaburan menarik dan ini akan meningkatkan nilai dan kualiti pelaburan di Sarawak.