Oleh: Lokman Hakim
KERJA mengarang cerpen adalah suatu pekerjaan yang unik. Tiada cerpenis yang menulis sepertimana cerpenis lain – masing-masing punya kaedah tersendiri yang terbentuk hasil daripada cerapan pengalaman hidup dan pembacaan yang rencam.
“Kelab 11 Januari”, sebuah cerpen tulisan Stefanie Kaso ini ibarat ditulis dengan meniup belon sebelum mengempiskannya ke bentuk asal. Dan secara harfiahnya, perbuatan meniup belon itu agak sempurna jika diteliti sekadar perbuatan tersebut. Namun, sesebuah cerpen tidaklah digarap berlegar-legaran sekitar watak dan jalan ceritanya sahaja. Seseorang atau sesuatu watak harus berada di suatu tempat yang membantu penceritaan – barangkali mampu membangkitkan mood pembacaan yang dikehendaki atau kesan emosi yang membekas di hati.
“Kelab 11 Januari” oleh Stefanie Kaso adalah sebuah cerpen yang mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Norman yang berusaha mengatasi kesunyian hidupnya dengan menubuhkan sebuah kelab untuk mereka yang lahir pada tanggal yang sama. Cerpen ini bukan sahaja menyentuh isu-isu kesepian dan keterasingan, tetapi juga mencerminkan keupayaan teknologi dan media sosial dalam mengubah kehidupan seseorang.
Oleh itu, meski perbuatan meniup belon yang saya analogikan agak sempurna untuk garapan watak utama cerpen ini, saya mendapati landskap penceritaan masih menuntut ornamen-ornamen yang akan melunakkan lagi pembacaan cerpen seperti ini. Maka, apabila saya disajikan dengan perenggan pertama cerpen ini, beberapa imej yang kurang enak mula berlegaran dalam kepala. Perenggan pertama berbunyi seperti berikut:
“Tidak sia-sia aku berlama-lama di bilik mandi. Usai mandi badanku yang berbau tengik bukan sahaja terasa segar dan wangi, tetapi di dalam bilik mandi berkeluasan satu meter kali dua meter itu … aku menemui jawapan untuk mengisi rasa sepi yang membelenggu hidupku. Ah, mungkinkah ini dipanggil krisis pertengahan umur? Aku tidak tahu; yang aku tahu, aku lelaki paling sunyi di kota ini. Mungkin ia kedengaran berlebihan, tetapi serius; hidupku memang menyedihkan. Kalau ada yang meminta aku mengisi buku biodata persahabatan, seperti yang sering budak-budak zaman lahir 80-an lakukan, tidak banyak yang dapat aku isi jika menyangkut tentang sahabat.”
Bilik mandi, bukanlah suatu tempat sakral. Ia juga bukanlah suatu tempat luar biasa meskipun penting. Dalam fiksyen, tidak mustahil untuk menciptakan sebuah cerita luar biasa dengan landskap biasa. Dan saya dapat mengesan kebosanan pengarang terhadap bilik mandi – maka bilik mandi yang dijadikan tempat letak titik mula penceritaan kelihatan kusam dan tidak bermaya. Justeru, saya melihat keperluan untuk membangkitkan pembangunan naratif dalam perenggan pertama tersebut dengan bergaya supaya pembaca terdorong untuk bergerak ke perenggan seterusnya.
Ia barangkali boleh dilakukan dengan meletakkan penceritaan secara berima – ringkas dan padat. Brian Dillon dalam kumpulan eseinya, Essayism ada meletakkan sebuah esei berjudul “On Consolation” yang dimulakan dengan deskripsi sebuah bilik yang tidak luar biasa sifatnya, tetapi ada alur emosi yang segar dalam penyampaiannya naratifnya.
Analisis Tema
Tema utama dalam “Kelab 11 Januari” adalah kesepian dan pencarian makna dalam kehidupan. Norman, protagonis cerita, digambarkan sebagai seorang yang sepi dan terasing daripada masyarakat. Kesunyian Norman digambarkan dengan jelas melalui rutin hariannya yang monoton dan hubungannya yang terhad dengan orang lain.
Kelebihan utama cerita ini adalah pada cara penulis mengungkapkan realiti kehidupan moden yang sering kali dipenuhi dengan kesunyian walaupun di tengah kesibukan kota. Pengungkapan realiti inilah yang boleh dianalogikan selaku perbuatan meniup belon tersebut.
“Kebanyakan masa aku tinggal sendirian di rumah peninggalan ibu dan ayah. Seluruh kehidupan aku berputar dalam rutin yang sama. Bangun jam lima pagi, turun ke tempat kerja sesudah mengurus diri, masuk ke tempat kerja tepat waktu, makan tengah hari di kantin sebelah pejabat, lalu pada jam lima petang berlumba-lumba pulang ke rumah dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Sempurna!”
Dalam erti kata lain, pengarang telah merakam realiti kehidupan moden yang diladeni golongan pertengahan umur, setepatnya. Esensi kehidupan itu yang banal dan menjerumuskan pelakunya dalam keadaan sepi daripada makna hidup dibawa dengan baik dalam cerpen ini.
Perkembangan Watak
Watak Norman dikembangkan dengan baik pada permulaan cerita. Pembaca dapat merasakan keputusasaan dan keinginan Norman untuk mencari teman. Namun, setelah penubuhan Kelab 11 Januari, perkembangan watak Norman terasa agak terburu-buru.
Transformasi Norman daripada seorang lelaki yang kesepian kepada seorang pemimpin kelab yang berjaya kurang diberi penekanan yang mendalam. Hal ini mengurangkan impak emosi yang seharusnya dirasakan oleh pembaca.
“Ya, aku akan berkongsi mengenai hari ini di Facebook, Instagram … mungkin TikTok meski aku tidak pandai bergelek-gelek. Tapi menurut profilku … aku hanya mempunyai 20 orang kawan. Ah, aku tidak kisah tentang kuantiti.”
Pada perenggan ini kita lihat transformasi watak utama, Norman yang mula memasang niat untuk berubah menjadi seseorang yang dikenali khalayak umum. Perenggan di atas disusuli pula dengan ayat-ayat dan perenggan-perenggan berikut:
“20 orang itu harus tahu hari ini hari lahirku. Aku ingin melihat, siapa antara mereka mengucap selamat kepadaku … atau -” Ya, aku tahu! Aku tahu!
“Aku akan cari orang lain yang sama tanggal lahir denganku!”
Sejarah telah tercipta. Begitu sahaja, Kelab 11 Januari tertubuh dengan aku memegang jawatan Pengerusi, sekali gus sebagai ahli pertama. Buat pertama kali dalam hidup, aku yakin dengan apa yang aku buat; iaitu mengumpul seramai mungkin yang sama tanggal lahir denganku. Titik.
Dapat dilihat dalam beberapa perenggan tersebut betapa terburu-burunya transisi Norman, daripada seorang lelaki penyepi kepada seorang pengerusi yang berkehendakkan interaksi dengan umat manusia seramai mungkin.
Keperluan transisi ini harus diperjelaskan secara emosi dan tuntutan batiniah yang kompleks, sejajar dengan karakter manusiawi yang kita tahu memang sedia ada kompleks. Kegagalan mengambil kira kerumitan perkembangan mentaliti, pemikiran dan emosi watak akan menjurus kepada sebuah pembinaan cerpen yang bermain di permukaan idea, tetapi tidak menjurus ke dalam jiwa pembaca yang menyoroti ceritanya. Hal ini walau bagaimanapun, sukar dielakkan. Tetapi seandainya pengarang mahu mencermati setiap cerita-cerita yang dihasilkan, pengarang akan menemukan perbezaan setiap idea dan setiap penceritaan yang menuntut medium berbeza – ada yang selayaknya diguguskan dalam bentuk cerpen ringkas dan ada yang menuntut pengembangan plot sebuah novel yang gah untuk menyampaikan ideanya. Maka, saya melihat perkembangan watak Norman dalam cerpen ini disempitkan oleh bentuk cerpen yang terhad.
Struktur Plot
Struktur plot “Kelab 11 Januari” agak menarik, tetapi memerlukan beberapa penambahbaikan. Pada awalnya, cerita berkembang dengan baik ketika Norman mendirikan kelab dan menarik lebih ramai ahli. Namun, konflik yang muncul apabila kelab itu mula menjadi tular dan disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu tidak dikembangkan dengan sepenuhnya. Ketegangan yang diharapkan dalam menghadapi konflik ini kurang dirasai, dan penyelesaiannya terasa terlalu cepat dan mudah.
Hal ini kerana kita disuguhkan dengan perbalahan kata-kata sesama ahli persatuan tetapi tidak disertakan sama sekali dengan pembangunan karakter-karakternya. Barangkali dengan meletakkan beberapa watak dengan nama dan personaliti tertentu, garapan konflik akan lebih beremosi dan hidup, diselangi dengan pembinaan struktur plot yang lebih mengujakan pembaca.
Gaya Bahasa dan Naratif
Gaya bahasa pengarang dalam cerpen ini adalah sederhana dan mudah difahami. Deskripsi tentang kesepian Norman sangat efektif dan membawa pembaca merasakan kesunyian yang dialaminya. Namun, terdapat beberapa bahagian yang boleh diperhalusi untuk meningkatkan kualiti naratif. Sebagai contoh, dialog-dialog antara watak kadang-kala terasa kaku dan tidak semula jadi. Penggunaan metafora dan analogi juga boleh dipertingkatkan untuk memberikan kedalaman kepada penceritaan.
Analogi dan Penambahbaikan
Untuk meningkatkan kualiti penceritaan, pengarang boleh mengambil inspirasi daripada teknik-teknik penceritaan dalam novel-novel klasik dan moden yang berjaya. Sebagai analogi, bayangkan sebuah lukisan yang indah tetapi kurang kontras. Dengan menambah bayang-bayang dan cahaya, lukisan itu akan menjadi lebih hidup dan menarik. Begitu juga dengan cerpen ini, penambahan lapisan emosi dan konflik yang lebih mendalam akan menjadikannya lebih berkesan. Saya sebutkan di sini beberapa perkara yang boleh diperhalusi oleh Stefanie Kaso, mungkin untuk karya-karya yang seterusnya.
- Pengembangan Watak: Satu cara untuk memperbaiki cerpen ini adalah dengan memberi lebih banyak ruang untuk perkembangan watak Norman. Pembaca perlu melihat proses perubahan Norman, daripada seorang yang kesepian kepada seorang pemimpin yang berjaya, dengan lebih jelas. Perkara ini boleh dilakukan melalui lebih banyak babak introspeksi dan interaksi dengan ahli kelab lain. Sehingga ke titik tamat cerpen ini, kita tidak tahu apa yang menjerumuskan Norman ke dalam keadaan sebegitu rupa. Pembinaan satu lagi watak pembantu yang dinamik barangkali akan membina pengembangan watak yang lebih baik.
- Konflik dan Ketegangan: Konflik dalam cerita ini boleh dipertingkatkan dengan lebih banyak adegan yang menunjukkan perjalanan Kelab 11 Januari itu menjadi tular dan kemudian menimbulkan masalah. Ketegangan antara Norman dan ahli kelab lain yang mungkin mempunyai agenda tersendiri boleh diwujudkan untuk menambah drama dan menarik minat pembaca.
- Gaya Bahasa: Penggunaan bahasa boleh diperkaya dengan metafora dan analogi yang lebih kreatif. Penerapan gaya bahasa ini akan memberikan naratif yang lebih mendalam dan menarik. Contohnya, kesepian Norman boleh digambarkan sebagai “sebuah gua yang gelap dan sunyi, di mana hanya gema langkahnya sendiri yang menemani.”
- Penyelesaian Konflik: Penyelesaian konflik dalam cerita ini terasa terlalu mudah. Sebagai contoh, ketegangan antara Norman dan ahli kelab yang lain boleh diakhiri dengan cara yang lebih dramatik dan memuaskan, seperti melalui konfrontasi yang memerlukan Norman menunjukkan kepemimpinannya yang sebenar.
Kesimpulan
“Kelab 11 Januari” oleh Stefanie Kaso adalah sebuah cerpen yang menarik dengan tema yang relevan dalam konteks kehidupan moden. Namun, untuk menjadikannya lebih berkesan, beberapa penambahbaikan dalam pengembangan watak, struktur plot dan gaya bahasa diperlukan. Dengan menambah elemen-elemen ini, cerpen ini bukan sahaja akan lebih menghiburkan, tetapi juga memberikan kesan yang lebih mendalam kepada pembaca. Stefanie Kaso mempunyai potensi besar sebagai seorang penulis, dan dengan sedikit lagi usaha, karya-karyanya pasti akan lebih gemilang di masa hadapan.