BILAKAH sukan bola sepak diperkenalkan di Sarawak? Jawapan ini tidak dapat dikenal pasti tarikh dan tempat ia bermula. Apa-apa yang kita boleh katakana, bahawa sukan ini memang dikaitkan dengan orang Barat.
Perkembangan sukan ini telah bermula di Eropah. Manakala sukan bola sepak moden yang ada seperti hari ini bermula di Britain. Daripada sejarah sukan ini, jelas menunjukkan bahawa orang Barat telah membawa sukan ini ke luar Eropah, termasuk ke Sarawak.
Permainan Rekreasi
Sukan ini biasa dimainkan oleh orang Barat, bersama-sama dengan penduduk tempatan di Sarawak selepas waktu bekerja dan pada hujung minggu. Misalnya, pekerja-pekerja lombong di Bidi, Buso dan Bau pernah mengadakan perlawanan persahabatan antara pekerja-pekerja ini. Keadaan serupa juga berlaku di ladang-ladang getah, Sungai Tengah dan Dahan.
Sukan ini amat popular dalam kalangan penduduk di Kuching. Pada ketika itu, tiada padang khas untuk sukan tersebut. Orang Barat mengambil kesempatan di kawasan lapang seperti di padang polis di Kubu untuk bermain bola. Ada juga yang memilih untuk bermain di hadapan kawasan lapang gereja di Kuching.
Dalam hal ini, perlawanan bola sepak pernah diadakan pada hari meraikan kemenangan Pihak Berikat dalam Perang Dunia Pertama. Acara sukan bola sepak ini yang diadakan pada penghujung tahun 1918 itu telah berlangsung di padang milik SPG Mission.
Sebuah piala perak telah disumbangkan oleh Chan Kee Ong untuk pemenang perlawanan bola sepak tersebut. Pelawanan bola sepak itu hanya disertai oleh dua buah pasukan, iaitu dari Polis dan Ranger. Perlawanan ini dimenangi oleh pasukan Ranger apabila pemainnya Drahman menjaringkan dua gol berbalas satu.
Jawatankuasa Bola Sepak
Perlawanan sepak bola ini juga mendapat perhatian dalam kalangan golongan Perabangan Melayu di Kuching. Sebagai meraikan kepulangan Abang Abdillah dari Mekah pada tahun 1920, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengadakan perlawanan sepak bola.
Abang Sulaiman Abang Taha sudi menyumbang sebanyak 11 pingat perak kepada pemenang perlawanan tersebut. Manakala jawatankuasa yang ditubuhkan itu pula berperanan untuk menetapkan peraturan dan mendaftar pasukan yang ingin bertanding.
Yuran sebanyak $1.50 dikenakan kepada pasukan yang ingin menyertai perlawanan tersebut. Tarikh pelawanan itu ditetapkan pada 6 November 1920.
Pasukan Bola Sepak
Pada tahun 1924, telah muncul kelab bola yang dikenali sebagai Wanderers di Kuching. Ahli kelab ini kebanyakan ialah orang Barat. Kelab ini telah membina padang bola sepak dan sebuah pavilion (rumah rehat sukan) di Jalan Badruddin yang berdekatan dengan Ibu Pejabat Polis Kuching.
Selepas itu, Kuching Football Club telah ditubuhkan pada 16 Januari 1926, bagi menggantikan Wanderers. Orang bertanggungjawab menubuhkan kelab ini ialah J. P. Mead. Usaha Mead ini membawa kepada pembentukan dua buah pasukan bola sepak. Dua pasukan bola sepak ini akan mengadakan pelawanan setiap dua kali seminggu.
Sejak tahun 1926 ini juga, piala untuk pemenang pertandingan bola telah disediakan. Piala pertama diperkenalkan ialah Piala James Buchanan.
Piala ini menjadi rebutan sehingga Perang Dunia Kedua meletus. Dikatakan piala ini telah hilang semasa pendudukan Jepun. Selain itu terdapat beberapa lagi piala diwujudkan seperti McDonald Cup, Smit Shield, A. Brooke Cup dan Marjoribanks Cup.
Sukan bola sepak ini juga menjadi salah satu sukan yang popular dalam kalangan pelajar sekolah di Kuching. Satu pertandingan bola sepak telah diadakan antara sekolah di Kuching pada penghujung tahun 1928.
Sebanyak tujuh buah sekolah telah menyertai perlawanan bola sepak Senior and Junior Shields. Perebutan Junior Shield telah dimenangi oleh Sekolah Kampung Gersik dengan mengalahkan Hokkien School. Manakala sekolah Roman Katolik pula memenangi Senior Shields dengan mengalahkan pasukan Church of England.
Liga Bola Sepak
Satu perkembangan baharu telah berlaku dalam sukan ini di Sarawak adalah kemunculan liga bola sepak yang pertama. Liga ini dinamakan sebagai Liga Bola Sepak Kuching. Ia diwujudkan pada tahun 1931. Beberapa pasukan bola sepak pula muncul untuk bersaing dalam liga tersebut.
Kepesatan sukan bola sepak di Sarawak ini telah melahirkan pemain hebat dari Sarawak. Salah seorangnya ialah Peter Stewart. Stewart pernah menyertai pertandingan bola sepak tahap tinggi dengan menyertai Queen Park. Beliau juga pernah menyertai pasukan bola Newcastle United.
Peminat sukan bola sepak ini seperti Dr. E. Marjoribanks yang juga Presiden KFC, pernah menubuh pasukan bola sepak dalam kalangan kakitangan perubatan. Pasukan yang ditubuhkan oleh beliau ini membawa kejayaan besar apabila memenangi pertandingan liga bola sepak itu sebanyak empat tahun berturut-turut.
Manakala sumbangan daripada Jubilee Trust Fund Committee pada tahun 1953 membawa pada pembinaan padang Jubilee Recreation. Pembinaan padang bola ini adalah untuk menggantikan padang bola Song Kheng Hai yang tidak lagi boleh digunakan untuk bermain bola.
Luar Kuching
Selain di Bau, Buso, Bidi dan Kuching, permainan bola sepak ini juga mula mewarnai hidup penduduk di beberapa lagi tempat di Sarawak. Semasa hari kelahiran Raja Vyner Brooke, penduduk Miri misalnya, mengadakan satu perlawanan bola sepak di bandar tersebut.
Perlawanan bola sepak itu yang diadakan pada 26 September 1922 antara dua bauh kelab, iaitu Gymkhana Club dan Miri Recreation Club. Pemain-pemain kedua-dua kelab ini terdiri daripada orang Barat dan juga orang tempatan.
Perlawanan yang penuh mencabar antara kedua-dua kelab ini sehingga di penghujung wisel. Kedua-dua pasukan kejar-mengejar untuk menjaring gol di gawang lawan. Pada penamat pelawanan Miri Recreation Club memenangi pelawanan dengan tiga berbalas dua gol.
Sukan bola sepak juga mendapat perhatian dalam kalangan penduduk Iban di Sarawak. Satu pertandingan bola sepak antara rumah panjang diadakan di Simanggang. Perlawanan sepak bola yang dijalankan pada 10 Oktober 1928 menyaksikan sebanyak 23 buah pasukan dari hampir seluruh kawasan di Sarawak menyertainya.
Perlawanan ini dimenangi oleh Rumah Empenit, Stumbin yang mengalahkan Rumah Nyuin, Tawang dengan tiga gol tanpa balas. Perlawanan ini satu pengalaman baharu dalam kalangan penduduk Iban untuk mengasah bakat dalam sukan bola sepak.
Dalam perlawanan bola sepak itu terdapat satu kemalangan berlaku apabila salah seorang pemain patah tangan. Pada akhir perlawanan tersebut, Residen telah menyampaikan hadiah kepada juara dan naib juara dalam perlawanan tersebut.
Pelawanan Antarabangsa
Sarawak mula menyertai perlawanan peringkat antarabangsa apabila menyertai Pertandingan Bola Sepak Borneo pada tahun 1950-an. Perlawanan ini kemudiannya bertukar nama kepada Borneo Cup. Perlawanan bola sepak Borneo Cup ini adalah antara Sarawak, Sabah dan Brunei.
Penubuhan Malaysia pula membawa Sarawak menyertai pertandingan bola antara negeri di Malaysia. Namun demikian, penyertaan Sarawak dalam liga kebangsaan ini agak lewat dan hanya menyertainya pada penghujung tahun 1970-an.
Satu perkara yang terpahat dalam sejarah pasukan bola sepak Sarawak adalah slogan ‘Ngap Sayot’ yang dipelopori oleh jurulatihnya ketika itu, Awang Mahyan. Semangat Ngap Sayot ini membawa Sarawak dikenali sebagai salah satu pasukan digeruni pihak lawan.
Tuntasnya, sukan bola sepak adalah satu sukan antarabangsa yang amat diminati oleh penduduk Sarawak. Peranan pihak kerajaan dan swasta telah memajukan sukan ini di Sarawak. (*Dr. Suffian Mansor ialah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.)